Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jambatan ketiga S'pura-JB hanya diputuskan setelah kajian kebolehlaksanaan, kata Muhyiddin

Cadangan bagi pembinaan jambatan ketiga antara Johor Bahru dan Singapura hanya akan diputuskan setelah kajian kebolehlaksanaan selesai dijalankan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Jambatan ketiga S'pura-JB hanya diputuskan setelah kajian kebolehlaksanaan, kata Muhyiddin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 08:15AM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 08:17AM

JOHOR BAHRU: Cadangan bagi pembinaan jambatan ketiga antara Johor Bahru dan Singapura hanya akan diputuskan setelah kajian kebolehlaksanaan selesai dijalankan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

Menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin, kajian kebolehlaksanaan itu akan turut menilai keupayaan masa kini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang kini terpaksa menampung jumlah pengunjung yang sangat tinggi.

"Kita setuju secara dasar kajian ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta (S$1.6 juta)... skop perunding akan ditetapkan termasuk sama ada BSI dan KSAB ini dapat ditambah baik dalam keadaan sedia ada atau perlu dibina kemudahan lain termasuk mungkin jambatan ketiga," katanya.

Encik Muhyiddin berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Menangani Kesesakan Tambak Johor, yang turut dihadiri pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Saya dimaklumkan hampir 70 peratus pelawat ataupun pengunjung yang masuk keluar Malaysia ini, datang melalui Tambak Johor. Ini kalau boleh saya katakan, pusat kemasukan yang paling sesak berbanding mana-mana tempat di dunia,” katanya.

“Jadi sebab itu, satu kajian menyeluruh perlu diadakan untuk mengetahui apakah langkah-langkah ke hadapan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membolehkan trafik, dari segi kenderaan dan manusia yang melalui pintu masuk negara ini, berjalan licin dan lancar,” tambah beliau.

Menurut Encik Muhyiddin, kajian kebolehlaksanaan yang dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan itu akan mengambil masa sembilan bulan untuk siap.

Merujuk kepada mesyuarat pada Ahad (1 Dis), Encik Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan bersetuju supaya cadangan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor diteruskan sebagai langkah jangka pendek untuk atasi masalah kesesakan di tambak itu.

“Kos yang terlibat ialah RM30 juta (S$9.8 juta) tetapi kita belum dapat keputusan kerana kita perlu bincang antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga syarikat PLUS Malaysia Bhd, yang jadi syarikat konsesi lebuh raya di situ.

“Ia akan diperhalusi kerana dimaklumkan ramai pengguna pejalan kaki guna cara yang sedia ada yang mungkin dianggap berbahaya pada lalulintas dan sebagainya. Ini kita ambil kira meskipun kerajaan putuskan untuk adakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS),” kata beliau.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan