Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jambatan ke China ancam ikan lumba-lumba merah jambu asal Hong Kong

Juga dikenali sebagai ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik, spesies ini semakin sukar dilihat di perairan berdekatan, Lee menambah.

Anggaran Waktu Membaca:
Jambatan ke China ancam ikan lumba-lumba merah jambu asal Hong Kong

Ikan lumba-lumba putih Cina. (Gambar: Bobby Yip/REUTERS)

Diterbitkan : 17 Jul 2018 03:52PM Dikemas Kini : 17 Jul 2018 04:28PM

HONG KONG: Ikan lumba-lumba merah jambu yang terdapat di Hong Kong semakin terancam apabila kerja pembinaan bagi jambatan sepanjang 31 kilomoter yang menghubungkan Hong Kong dengan China menyebabkan kegiatan-kegiatan komunikasi dan memberi makanan terganggu, kata pakar marin.

Ikan lumba-lumba putih Cina, yang kelihatan merah jambu disebabkan pembuluh darah di bawah lapisan kulitnya, adalah maskot rasmi bagi penyerahan bekas koloni Britain itu kepada China pada 1997.

Namun, projek-projek besar, termasuk projek jambatan melintasi muara Sungai Pearl yang bernilai S$25.8 bilion, mengancam haiwan tersebut yang jumlahnya menjunam hampir 80% dalam sedekad lalu kepada hanya 47.

"Pembinaan jambatan ini mempunyai kesan negatif pada ikan lumba-lumba ini dan menyebabkan jumlahnya turun mendadak," kata Samantha Lee, pegawai World Wildlife Fund (WWF) di Hong Kong.

Juga dikenali sebagai ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik, spesies ini semakin sukar dilihat di perairan berdekatan, Lee menambah.

Perjalanan melalui laut yang semakin sesak di sekitar Hong Kong, pencemaran dan penangkapan ikan berlebihan menyumbang kepada kehilangan habitat haiwan-haiwan ini.

Bunyi bising di dalam air yang semakin kuat disebabkan kerja-kerja pembinaan menyebabkan kesukaran bagi haiwan-haiwan ini untuk makan dan berkomunikasi, kata Cik Lindsay Porter, ahli sains di firma runding cara penyelidikan mamalia laut SMRU Hong Kong.

"Apabila bunyi di bawah air semakin bising, anda tidak sahaja menghalang ikan lumba-lumba daripada mencari makanan ... kita juga menghalang ia daripada berkomunikasi antara satu sama lain," kata Porter, yang menambah bahawa gangguan sedemikian mengancam kehidupan ikan lumba-lumba ini.

Lebih dari separuh ikan lumba-lumba dilihat menunjukkan tanda-tanda keadaan tertekan, seperti lesi kulit dan jangkitan disebabkan kadar bunyi bising dan tekanan yang tinggi, Cik Porter menambah.

Dalam jawapan emel kepada Reuters, jabatan perlindungan Hong Kong menyatakan jumlah ikan lumba-lumba yang merosot merupakan isu rumit yang memerlukan lebih analisis data dan pantauan yang lebih terperinci.

"Untuk terus memulihara ikan lumba-lumba putih Cina di Hong Kong, pemerintah merancang untuk memperuntukkan lebih banyak taman marin dengan secepatnya," ia menambah.

Namun usaha pemerintah untuk memberi pampasan bagi projek infrastruktur dekat tempat-tempat pemuliharaan seperti Brothers Marine Park (BMP), tidak dapat mengembalikan ikan lumba-lumba yang sudah tiada, kata seorang pakar persekitaran.

Sumber : Reuters/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan