Images
  • jambatan gantung satok
    (Gambar: ASTRO Awani)

Jambatan Gantung Satok daya tarikan pelancongan baru Kuching

KUCHING: Nostalgia 95 tahun lalu kembali menjadi penghubung penduduk Sarawak khususnya di kawasan Satok dan Kubah Ria dengan terbinanya Jambatan Gantung Satok yang merentasi sungai Sarawak.

Ia bukan sahaja mengembalikan kenangan dan sentimen sejarah, namun bakal menjadi ikon baru tarikan pelancongan di bandar raya Kuching.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg berkata jambatan tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri selepas ia dibina pada zaman pemerintahan Raja Putih Ketiga, Charles Vyner Brooke pada 1923.

“Dahulu selain menjadi medium penghubung untuk kegunaan rakyat menyeberangi sungai, ia turut digunakan untuk meletakkan paip bagi menyalurkan bekalan air ke Matang,” katanya pada majlis perasmian Jambatan Gantung Satok di Kubah Ria pada Ahad (21 Nov).

Namun pada tahun 1992, jambatan itu terpaksa ditutup kepada laluan orang ramai atas faktor keselamatan sebelum ia runtuh susulan kabel penahannya putus.

Menurut Abang Johari, infrastruktur itu akan terus menjadi tarikan baru di bandar raya Kuching di samping transformasi kawasan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil sehingga Kampung Tupong Ulu.

Sementara itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Julaihi Narawi berkata rancangan pembinaan jambatan itu dibuat pada 2017.

Dimensi struktur binaan baru itu adalah 213 meter panjang dengan lebar tiga meter dan ketinggian 22 meter.

Dibangunkan di tapak asal pada 18 September 2017, ia mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum jambatan itu dibuka kepada orang awam pada Ogos lalu.

Jambatan tersebut turut dinaik taraf dengan penambahan lampu LED mengaplikasikan sentuhan moden kepada mercu tanda bersejarah negeri Sarawak itu.

Untuk rekod, pembinaan semula jambatan ikonik tersebut merupakan salah satu daripada 109 inisiatif kerajaan Sarawak.

- Agensi berita/HA/ha

Top