Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jalur Gemilang disangka bendera AS "diconteng dengan simbol ISIS"

Memandangkan ia hanya dua hari selepas Hari Merdeka, warga negara Malaysia membawa Jalur Gemilang untuk meraikan ketibaan Syawal di sebuah perjumpaan di Kansas, Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jalur Gemilang disangka bendera AS "diconteng dengan simbol ISIS"

Gambar fail bendera-bendera Malaysia.

Diterbitkan : 21 Mar 2018 05:12PM Dikemas Kini : 21 Mar 2018 05:14PM

KANSAS CITY: Memandangkan ia hanya dua hari selepas Hari Merdeka, warga negara Malaysia membawa Jalur Gemilang untuk meraikan ketibaan Syawal di sebuah perjumpaan di Kansas, Amerika Syarikat.

Malangnya, penganjur perjumpaan pada September tahun lalu itu, Munir Zainal, menerima aduan yang mendakwa bahawa para tetamu sambutan tersebut "yang memakai pakaian Muslim" menggunakan bendera Amerika Syarikat yang "dicemari dengan simbol-simbol ISIS."

Rupa-rupanya salah seorang anggota Persatuan Pekerja Spirit Boeing (SBEA) iaitu tempat yang disewa jurutera aeroangkasa itu untuk perjumpaan berkenaan, membuat aduan kepada SBEA yang kemudian membawa perkara itu ke Biro Siasatan Federal (FBI), menurut laporan Kansas City Star.

Menurut Free MalaysiaToday, akhbar The Wichita Eagle pula melaporkan bahawa majoriti tetamu jemputan Munir adalah warga India Malaysia, di mana sebahagian daripada mereka memakai hijab dan bergambar dengan bendera Malaysia.

Munir menerima pemberitahuan di Facebook bahawa pihak berkuasa mahu mendapatkan keterangannya dan beliau kemudian menerima panggilan daripada ejen FBI sejurus selepas itu.

Ejen tersebut dikatakan memberitahu Zainal bahawa beliau sudahpun menentukan bahawa "bendera Amerika yang dicemari" sebenarnya adalah bendera Malaysia dan ejen tersebut menyarankan supaya siasatan ke atas insiden berkenaan ditutup.

Walaupun siasatan terhadap Munir ditutup Oktober tahun lalu, keanggotaannya di SBEA tetap disekat disebabkan insiden pada 2 September 2017 itu.

Maka itu, jurutera Spirits Aerosystems yang menetap di Wichita itu memfailkan aduan terhadap SBEA, menurut The Malay Mail Online. Beliau mendakwa bahawa SBEA mendiskriminasikannya berdasarkan bangsa, kaum dan agamanya.

Munir juga dikatakan bimbang bahawa siasatan yang dijalankan ke atasnya boleh menjejas status penduduk tetapnya di Amerika Syarikat. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan