Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jalan raya ke Mersing ditutup akibat banjir

Jalan-jalan raya menuju ke bandar Mersing tersekat sedang banjir teruk melanda Johor, dengan jumlah orang yang dipindahkan meningkat kepada lebih 9,000 pada Isnin (16 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Jalan raya ke Mersing ditutup akibat banjir

(Gambar: CNA/Zhaki Abdullah)

Diterbitkan : 17 Dec 2019 08:12AM Dikemas Kini : 17 Dec 2019 08:17AM

MERSING: Jalan-jalan raya menuju ke bandar Mersing tersekat sedang banjir teruk melanda Johor, dengan jumlah orang yang dipindahkan meningkat kepada lebih 9,000 pada Isnin (16 Dis).

Di Kampung Haji Mohd Jambi, kira-kira 70 kilometer dari Mersing, para penduduk tempatan berkata jalan raya utama, Jalan Jemaluang menuju ke bandar tepi pantai itu ditutup sejak dua hari sebelumnya menyebabkan pengguna jalan raya berpatah balik.

Menurut mereka, jalan-jalan raya lain di kawasan itu juga ditutup.

(Gambar: CNA/Zhaki Abdullah)

Apabila Mediacorp melawat tapak tersebut pada Isnin petang, pihak berkuasa tempatan sudah memasang penghadang jalan yang menandakan jalan-jalan raya ditutup.

Beberapa kenderaan kecemasan termasuk sebuah bot, ditempatkan di situ.

Beberapa pengguna jalan raya kelihatan cuba meredah air bah yang mencecah ke paras lutut di beberapa kawasan.

Sekumpulan orang yang menaiki lori cuba melalui kawasan yang ditenggelami banjir tetapi akhirnya terpaksa berpatah balik.

Beberapa anggota kumpulan relawan yang sedang cuba menghantar makanan dan barangan asas kepada para mangsa banjir memberitahu bahawa mereka terpaksa mencari jalan lain menuju ke Mersing.

Seorang penduduk, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Azizan, pada awalnya ingin membawa anak-anaknya melawat ibu bapanya di rumah mereka yang terjejas oleh banjir.

"Kami ingin membawakan makanan kepada mereka, namun kini nampaknya kami perlu berpatah balik," kata beliau.

Baru-baru ini banjir melanda sebahagian besar Johor, dari Segamat hingga Johor Bahru. Lebih 9,000 penduduk dipindahkan ke 91 pusat pemindahan sementara di merata negeri.

Menurut perangkaan pihak berkuasa tempatan, kawasan paling teruk terjejas adalah Kota Tinggi, di mana lebih 2,600 orang dipindahkan.

Pada Isnin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar melawat dua pusat pemindahan sementara bagi para penduduk di Kluang, kawasan kedua paling teruk terjejas dengan 2,551 orang dipindahkan setakat Isnin pagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan