Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jakim akan laksana 3 mekanisme bagi elak isu 'kartel daging' berulang

Jakim akan melaksanakan 3 mekanisme bagi meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jakim akan laksana 3 mekanisme bagi elak isu 'kartel daging' berulang

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Nov 2021 11:51AM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 11:53AM

KUALA LUMPUR: Malaysia pada tahun lalu digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import yang rupanya sudahpun berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Pembongkaran itu menimbulkan keraguan dan persoalan dalam kalangan rakyat terhadap kualiti dan jaminan produk yang masuk ke Malaysia, sama ada halal atau sebaliknya.

Menyedari hakikat itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut sebenarnya membuka mata banyak pihak terutamanya berkaitan kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.

Menurutnya, Jakim selepas ini akan melaksanakan tiga mekanisme bagi meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian.

“Mekanismenya adalah Mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang, mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

“Kedua, produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori pengangkutan.

“Ketiga, mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan.

Menurut Ismail Sabri, inisiatif sebegitu penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata menjelang tahun 2024, ekonomi halal global dilaporkan meningkat kepada RM10 trilion.

Justeru, beliau menyeru semua agensi, kementerian berkaitan dan pemain industri supaya berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Ia mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025. Pada tahun 2020 sahaja, industri halal telah menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada KDNK negara.

“Hal ini menunjukkan industri halal berpotensi menjana ekonomi negara kerana populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada tahun 2030.

“Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga boleh mencecah AS$680 bilion setahun,” dedahnya kepada Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan