Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Itali laksana sekatan perjalanan ekoran kematian akibat COVID-19

Dua kematian akibat virus korona COVID-19 mencetuskan kebimbangan di seluruh utara Itali pada Sabtu (22 Feb), sedang sekitar 50,000 orang bersedia untuk menghadapi sekatan perjalanan selama berminggu-minggu oleh pihak berkuasa dalam usaha membendung peningkatan jangkitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Itali laksana sekatan perjalanan ekoran kematian akibat COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2020 07:57PM Dikemas Kini : 23 Feb 2020 08:12PM

CODOGNO: Dua kematian akibat virus korona COVID-19 mencetuskan kebimbangan di seluruh utara Itali pada Sabtu (22 Feb), sedang sekitar 50,000 orang bersedia untuk menghadapi sekatan perjalanan selama berminggu-minggu oleh pihak berkuasa dalam usaha membendung peningkatan jangkitan.

Itali pada Jumaat menjadi negara pertama di Eropah yang melaporkan kematian salah seorang rakyatnya sendiri akibat virus itu, mencetuskan sekatan perjalanan ke atas puluhan bandar yang mana jumlah penduduknya yang dijangkiti terus meningkat.

Perdana Menteri Giuseppe Conte berkata mereka yang tinggal di kawasan-kawasan terjejas di kawasan utara akan dihadkan ke kawasan tersebut. Sekolah-sekolah dan perniagaan pula ditutup, sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang dirancang untuk membendung jangkitan baru.

"Di zon-zon dianggap pusat wabak, tiada kebenaran akan diberikan untuk masuk atau keluar," kata Encik Conte semasa satu sidang media.

Seorang wanita berusia 77 tahun meninggal dunia pada Sabtu dekat kota kecil Codogno di Lombardy di utara Itali, sehari selepas seorang tukang batu berusia 78 tahun mati akibat virus itu di daerah Veneto.

Jumlah kes COVID-19 yang disahkan meningkat kepada 79 orang pada lewat Sabtu, termasuk dua orang yang meninggal dunia, kata ketua jabatan perlindungan awam Itali, Angelo Borelli.

Akhbar Corriere della Sera melaporkan bahawa virus itu juga telah dikenal pasti di Milan, bandar terbesar Lombardy dan pusat kewangan Itali.

Encik Conte memberi amaran bahawa langkah-langkah ketat akan berterusan selama beberapa minggu memandangkan tempoh inkubasi virus. Sekitar 50,000 orang, yang diminta pihak berkuasa tempatan untuk tidak keluar rumah akan terjejas, katanya.

Pihak berkuasa Itali juga sudah mengarahkan tiga perlawanan bola sepak Serie A ditangguhkan pada Ahad.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak "terbawa-bawa oleh perasaan panik."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan