Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu sampah: Filipina panggil balik duta ke Kanada

Pemerintah Filipina memanggil balik diplomatnya di Kanada dan akan "mengekalkan kehadiran diplomatik yang berkurangan di Kanada", sehinggalah negara Amerika Utara itu mengutip sampah yang dihantar ke Filipina enam tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu sampah: Filipina panggil balik duta ke Kanada

Penunjuk perasaan di Filipina pada 2015 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 May 2019 09:32PM Dikemas Kini : 16 May 2019 09:46PM

MANILA: Pemerintah Filipina memanggil balik diplomatnya di Kanada dan akan "mengekalkan kehadiran diplomatik yang berkurangan di Kanada", sehinggalah negara Amerika Utara itu mengutip sampah yang dihantar ke Filipina enam tahun lepas.

Demikian lapor agensi berita China Xinhua yang memetik tweet Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin pada Khamis (16 Mei).

Kenyataan Encik Locsin itu dibuat selepas Kanada terlepas tarikh untuk mengutip bertan-tan sampah yang dibuang ke Filipina pada 2013 dan 2014.

Encik Locsin berkata surat panggilan balik itu dihantar kepada duta dan konsul Filipina di Kanada pada waktu tengah malam Rabu.

"Kanada terlepas tarikh akhir pada 15 Mei. Dan kami akan mengekalkan kehadiran diplomatik yang berkurangan di Kanada sehingga kesemua sampah dibawa balik semula ke negara itu," kata Encik Locsin.

Dalam satu lagi tweet, beliau berkata "Kepada kakitangan kami di Kanada: Anda mendapat arahan. Anda dipanggil balik. Naik penerbangan seterusnya untuk pulang."

Kedutaan Kanada di Manila belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung langkah terkini Manila itu.

103 KONTENA SAMPAH DIHANTAR KE FILIPINA

Kanada mengeksport 103 kontena kapal berisi sampah ke Filipina antara 2013 dan 2014. Hanya 69 kontena sampah masih ada daripada jumlah itu. 34 kontena sudah dilupuskan.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte menuduh negara Amerika Utara itu gagal mengambil tindakan berkaitan isu tersebut dan mengancam untuk menghantar balik sampah terbabit ke Kanada.

Duterte malah mengancam akan berperang dengan Kanada susulan isu sampah itu.

"Mari kita tentang Kanada. Kita akan mengisytiharkan perang terhadap mereka, kita boleh lawan mereka. Saya akan pulangkan sampah itu. Hanya tunggu dan lihat," katanya pada 23 April.

Kanada, menerusi kedutaannya di Filipina, mengeluarkan kenyataan pada hari berikutnya yang menyebut bahawa ia kini bekerjasama dengan Filipina untuk menyelesaikan isu itu.

"Kanada komited untuk berkolaborasi dengan kerajan Filipina bagi menyelesaikan isu ini dan sedar akan keputusan mahkamah yang mengarahkan pengimport untuk menghantar kembali bahan berkenaan ke Kanada," menurut kedutaan Kanada dalam satu kenyataan pada 24 April.

Ia menambah bahawa "satu kumpulan kerja teknikal bersama, yang terdiri daripada para pegawai dari kedua-dua negara, kini mengkaji spektrum penuh isu berhubung pelupusan sampah itu dengan tujuan bagi mendapatkan penyelesaian yang tepat pada masanya."

Minggu lepas, Duterte memberi tempoh kepada Kanada sehingga 15 Mei untuk membuang sampah yang membusuk itu. Bagaimanapun, Kanada terlepas tarikh akhir itu.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan