Images
  • Children
    (Gambar: Reuters)

Isu kesihatan mental kanak-kanak dikupas di sesi dialog UNICEF

KUALA LUMPUR: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) akan menganjurkan satu sesi dialog bertajuk ‘Breaking the Silence’ esok (14 Okt) yang memberi tumpuan kepada kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak bersempena pelancaran laporan Keadaan Kanak-Kanak Sedunia (‘State of the World's Children’ (SOWC) 2021.

Semasa sesi dialog secara maya itu, tiga ahli panel iaitu Wakil Unicef ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar, pejuang kesihatan mental belia S. Vaismita dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA) Dr Abdul Halim Mohd Hussin akan berkongsi pandangan mereka mengenai isu kesihatan mental.

Dialog itu juga akan membincangkan keperluan untuk memperkukuhkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di sekolah dan dalam masyarakat bagi mengelakkan kejadian cubaan bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu, sesi itu turut menyentuh mengenai laporan global Unicef yang memberi tumpuan kepada kesihatan mental kanak-kanak, remaja dan penjaga.

Laporan SOWC 2021 baru-baru ini menyarankan kerajaan serta rakan sektor awam dan swasta agar memberi komitmen, berkomunikasi dan bertindak untuk mempromosikan kesihatan mental buat semua kanak-kanak, remaja dan penjaga, melindungi mereka yang memerlukan bantuan dan menjaga golongan kanak-kanak yang paling mudah terjejas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka menyampaikan ucaptama pada sesi dialog itu.

- BERNAMA/HA/ha

Top