Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu jalan rosak, kos sara hidup 'tumpuan' rakyat di Tanjung Piai

Isu jalan rosak, kekurangan infrastruktur serta kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan antara kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai, yang diharapkan menjadi keutamaan kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu jalan rosak, kos sara hidup 'tumpuan' rakyat di Tanjung Piai

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 03:17PM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 03:19PM

PONTIAN: Isu jalan rosak, kekurangan infrastruktur serta kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan antara kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai, yang diharapkan menjadi keutamaan kerajaan.

Tiga isu itu merupakan antara yang sering dibangkitkan oleh penduduk dalam kawasan itu kerana berkait rapat dengan kehidupan dan aktiviti seharian mereka. 

Bagi seorang penduduk, Cik Asiah Mudek, 57 tahun, dek kos sara hidup yang semakin meningkat, beliau menjalankan perniagaan menjual kerepek, pisang, kuih-muih dan karipap sejuk beku bagi menambah pendapatan keluarga.

“(Bagaimanapun), mohon pihak terlibat untuk bantu memasarkan produk Industri Kecil dan Sederhana, produk biasanya ada tetapi mereka yang berpendapatan rendah ini tak tahu cara memasarkan produk mereka,” katanya.

Bagi peniaga jamu dan suri rumah, Cik Zarina Hassim calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai nanti perlulah membantu golongan wanita dalam menjana pendapatan sendiri.

“Kita tak boleh bergantung kepada suami semata-mata. Pertimbangkan beri bantuan perniagaan kecil-kecilan jadi kaum ibu boleh hidup tanpa sokongan sekali gus ada duit kocek sendiri,” kata wanita berusia 44 tahun itu.

Beliau menambah, akses kepada Internet sangat diperlukan bagi membantu memasarkan produk secara online kerana kos pemasaran menggunakan wadah itu lebih murah.

Berkaitan infrastruktur jalan pula, mereka yang sering berulang-alik antara Johor Bahru-Pontian tahu bahawa sebilangan besar jalan-jalan raya kampung di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai sering rosak.

Ia disebabkan keadaan persekitarannya yang terletak di kawasan tanah gambut yang menyebabkan keadaan jalan raya itu mudah rosak dan bergelombang.

Ini turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas Yeo Tung Siong, yang memberi contoh isu jalan raya yang menjadi penghubung Pekan Nanas-Pontian, kira-kira sepanjang 10 km dalam keadaan mendap dan berlubang, seringkali menjadi keluhan rakyat setempat meskipun sudah berulang kali dibaiki.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan memandang serius perkara itu dan bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) dari Universiti Tun Hussein Onn dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Teknologi JKR (CREaTE) untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang dengan menjalankan kajian terhadap struktur tanah bagi mengatasi isu jalan raya itu.

Kajian yang dijangka siap bulan ini, diharapkan dapat mencari jawapan kepada isu jalan raya itu, yang dilihat sebagai jalan penghubung utama ke Johor Bahru, Gelang Patah dan Skudai seterusnya ke Singapura yang menjadi sumber rezeki bagi sebilangan penduduk di Pontian dan Pekan Nanas, kata Encik Yeo, yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas.

Di pihak kerajaan Pakatan Harapan, isu-isu sebegini sentiasa dititikberatkan dan tidak hanya mahu bermain dengan sentimen perkauman seperti yang dibangkitkan oleh ‘pihak-pihak’ tertentu. Apa yang penting adalah mencari penyelesaian isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat dan dilihat bermanfaat bukan sahaja jangka pendek tetapi juga untuk keperluan jangka masa panjang.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin baru-baru ini mencadangkan lima fokus yang perlu diberi penekanan oleh calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini.

Lima fokus yang bakal diberi keutamaan ialah menangani kos sara hidup, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memperbanyakkan rumah mampu milik serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan, selain menangani isu pencemaran sungai dan alam sekitar. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan