Images
  • kettle generic
    (Gambar: Fancycrave/Unsplash)

Isteri minta cerai, lelaki 60 tahun simbah dengan air mendidih

ACEH: Semata-mata kerana meminta cerai, lelaki 60 tahun 'naik hantu' sehingga tergamak menyimbah isterinya dengan sebaldi air panas. Lebih kejam lagi, perkara itu dilakukan ketika mangsa sedang tidur dalam bilik dan tidak dapat segera bertindak.

Alasannya? Pelaku ingin pasangannya itu cacat seumur hidup sehingga tidak dapat membuka lembaran hidup baru bersama lelaki lain.

Akibat tindakan individu terbabit, mangsa mengalami kelecuran yang sangat teruk sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Insiden berlaku di rumah pasangan berkenaan di Desa Geulanggang Gampong, Daerah Kota Juang, Bireuen.

"Pelaku cemburu dan marah terhadap mangsa yang meminta cerai. Dia ingin mangsa cacat supaya tiada yang ingin menikahinya lagi," kata Ketua Jabatan Penyelidikan dan Jenayah Polis Bireun, Iptu Eko Rendi Oktama kepada detikNews.

Encik Eko menambah, pihaknya menerima aduan daripada keluarga mangsa. Menurut aduan, semasa kejadian, pelaku pada awalnya menjerang air. Selepas air mendidih, dia memasukkan air panas itu ke dalam baldi.

Dia selanjutnya menuju ke bilik di mana isterinya sedang tidur lalu langsung menyimbah air mendidih itu pada wajah dan seluruh badan mangsa.

"Dia terus menyiram sehingga mangsa mengalami kelecuran teruk, kulit menggelupas," tambah Encik Eko.

Sebab pasangan itu bergaduh tidak pula diketahui.

Menurut detikNews, pihak polis segera bertindak atas maklumat yang diterima. Polis turut menemui beberapa bukti - termasuk periuk yang digunakan untuk memasak air.

Mangsa dirawat di Rumah Sakit Zainal Abidin Banda Aceh.

Laman itu turut melaporkan pelaku berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top