Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isteri mati dipatuk ular berbisa gara-gara suami takut diminta pulangkan hantaran kahwin

Seorang lelaki di India ditahan atas tuduhan membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu, selepas percubaan pertama menggunakan seekor ular berbisa gagal.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri mati dipatuk ular berbisa gara-gara suami takut diminta pulangkan hantaran kahwin

Gambar hiasan ular tedung. (Gambar: YE AUNG THU / AFP)

Diterbitkan : 26 May 2020 11:57AM Dikemas Kini : 26 May 2020 12:00PM

NEW DELHI: Seorang lelaki di India ditahan atas tuduhan membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu, selepas percubaan pertama menggunakan seekor ular berbisa gagal.

Polis di selatan Kerala berkata rakaman perbualan telefon membuktikan lelaki yang dikenali sebagai Sooraj, 27 tahun, menghubungi pengendali ular dan menonton video mengenai reptilia itu di internet.

Jurucakap polis, Ashok Kumar, berkata pada Mac lalu suspek menggunakan ular spesies Russell's viper yang amat berbisa untuk membunuh isterinya, Uthra, namun mangsa hanya cedera dan dirawat di hospital selama dua bulan.

Ketika mangsa sedang beransur pulih di rumah ibu bapanya, Sooraj mendapatkan ular tedung daripada seorang pengendali ular dan mencampakkan ular itu ke arah isterinya yang sedang tidur.

"Sooraj terus tinggal sebilik dengan Uthra, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dan menjalani rutin hariannya seperti biasa dan hanya pada keesokan hari kononnya menyedari isterinya dipatuk ular selepas mendengar jeritan ibu mangsa," menurut kenyataan polis.

"Mereka membawanya ke hospital, namun doktor memaklumkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia, " katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa Uthra mula berasa curiga apabila Sooraj cuba mendapatkan harta milik isterinya, selang beberapa hari selepas kematian mangsa.

Uthra adalah dari keluarga yang mewah tetapi keluarga Sooraj, yang bekerja di sebuah bank swasta, tidak begitu berada. Pasangan itu mempunyai seorang anak berusia setahun.

Menurut polis, perkahwinan mereka melibatkan hantaran kahwin yang lumayan termasuk 100 syiling emas, kereta baru dan wang tunai kira-kira 500,000 Rupee (S$9,400).

"Sooraj bimbang Uthra akan meminta cerai dan dia akan terpaksa memulangkan semula hantaran kahwin, sekali gus mendorongnya untuk membunuh mangsa," menurut kenyataan polis.

Pembekal ular itu juga sudah diberkas.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan