Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel, UAE sambung hubungan diplomatik; Palestin sifatkannya 'menikam dari belakang'

Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada Khamis (13 Ogos) bahawa kedua-dua pihak akan menyambung semula hubungan diplomatik dan menjalin satu hubungan baru yang luas dan langkah ini dijangka akan membentuk semula politik Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2020 10:05AM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 11:32PM

WASHINGTON: Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada Khamis (13 Ogos) bahawa kedua-dua pihak akan menyambung semula hubungan diplomatik dan menjalin satu hubungan baru yang luas dan langkah ini dijangka akan membentuk semula politik Timur Tengah.

Di bawah perjanjian itu, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadi orang tengah, Israel bersetuju untuk menggantung niat mengilhakkan beberapa kawasan di Tebing Barat. Ia juga mengukuhkan tentangannya terhadap Iran, yang disifatkan oleh UAE, Israel dan Amerika Syarikat sebagai ancaman utama dalam konflik di Timur Tengah.

Israel menandatangani perjanjian damai dengan Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994. Namun UAE, bersama dengan kebanyakan negara Arab yang lain, tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik atau ekonomi dengan negara itu secara rasmi sehingga ke hari ini. UAE menjadi negara Arab pertama di Teluk yang mencapai perjanjian sedemikian dengan Israel.

Para pegawai dari ketiga-tiga negara itu menyifatkan perjanjian tersebut sebagai "bersejarah" dan satu pencapaian menuju ke arah kedamaian. Namun para pemimpin Palestin, yang terkejut dengan perjanjian tersebut, mengecamnya sebagai "menikam dari belakang" terhadap perjuangan mereka.

Perjanjian itu akan membolehkan kedua-dua Israel dan UAE untuk "mencarta haluan baru yang akan membuka laluan kepada potensi besar di rantau tersebut," menurut satu kenyataan bersama oleh Israel, UAE dan Amerika Syarikat.

Israel dan UAE dijangka akan menempatkan duta besar dan kedutaan masing-masing di kedua-dua negara tersebut. Majlis pemeteraian perjanjian tersebut akan diadakan di Rumah Putih.

"Hasil daripada kemajuan diplomatik ini dan atas permintaan Presiden Trump dengan sokongan Amiriah Arab Bersatu, Israel akan menangguhkan pengumuman kedaulatan"ke atas kawasan-kawasan di Tebing Barat seperti yang digambarkan dalam rancangan Amerika Syarikat yang diumumkan oleh Encik Trump pada Januari, menurut kenyataan itu lagi.

Perjanjian itu, yang akan dikenali sebagai Abraham Accord, juga dianggap sebagai satu pencapaian bagi dasar luar Presiden Trump sedang beliau mengukuhkan kempennya menjelang pilihan raya presiden pada 3 November. Bercakap dari pejabatnya di Rumah Putih, Encik Trump berkata perjanjian serupa sedang dibincangkan dengan negara-negara lain di rantau itu.

UAE menyatakan pihaknya tetap merupakan penyokong kuat kepada rakyat Palestin, yang berharap dapat mewujudkan sebuah negara yang merdeka di Tebing Barat, Gaza dan Timur Baitulmakdis dan perjanjian itu mengekalkan visi huraian dua negara bagi konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

PALESTIN RASA DIKHIANATI

Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagaimanapun menolak perjanjian tersebut. Jurucakapnya Abu Rudeineh, semasa membaca kenyataan di luar pejabat Encik Abbas di Ramallah di Tebing Barat, berkata bahawa ia adalah satu "pengkhianatan terhadap Baitulmakdis, Masjid Al-Aqsa dan perjuangan Palestin".

Ketika ditanya sama ada kepimpinan Palestin mengetahui tentang perjanjian itu, perunding kanan Hanan Ashrawi memberitahu Reuters: "Tidak. Kami tidak tahu-menahu sama sekali ... Ini terang-terangan satu pengkhianatan."

Di Gaza, Fawzi Barhoum, jurucakap kumpulan Hamas, berkata: "Perjanjian diplomatik itu satu tikaman dari belakang terhadap perjuangan Palestin dan hanya akan memanfaatkan Israel."

Sheikh Mohammed bin Zayed dari UAE berkata bahawa perjanjian itu akan menghentikan Israel daripada terus menakluki banyak wilayah Palestin, dengan Israel menunggu lampu hijau dari Washington.

Pegawai kanan UAE, Anwar Gargash berkata, perjanjian itu akan membantu meredakan apa yang disifatkannya ibarat bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak. Encik Gargash turut menggesa Israel dan Palestin supaya kembali ke meja rundingan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan