Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel tangkap remaja Palestin selepas tersebar video tampar askar

Tentera Israel menangkap seorang remaja perempuan Palestin selepas video remaja tersebut menampar askar Israel di Tebing Barat menjadi viral.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel tangkap remaja Palestin selepas tersebar video tampar askar

Petikan skrin video remaja perempuan Palestin menampar askar Israel.

Diterbitkan : 20 Dec 2017 11:11AM Dikemas Kini : 20 Dec 2017 11:13AM

BAITULMAKDIS: Tentera Israel menangkap seorang remaja perempuan Palestin selepas video remaja tersebut menampar askar Israel di Tebing Barat menjadi viral.

Video yang dirakam pada Jumaat lalu (15 Dis) menunjukkan dua remaja perempuan Palestin menghampiri dua askar Israel lalu menolak, menendang dan menampar mereka sambil merakamkannya menggunakan telefon bimbit mereka.

Askar yang bersenjata itu tidak memberikan respons terhadap tindakan yang kelihatan sebagai provokasi itu. Sebaliknya, mereka hanya berundur daripada insiden tersebut.

Insiden berkenaan dipercayai berlaku di sebelah rumah salah seorang daripada remaja itu iaitu Ahed Tamimi, 17 tahun, di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat.

Dalam satu video yang berasingan pula, remaja-remaja itu kelihatan seperti mengarahkan para askar yang sedang berdiri di tangga rumah mereka supaya beredar.

Ia berlaku di tengah-tengah pertempuran di merata Tebing Barat bagi menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Awal semalam (19 Dis), tentera Israel menyerbu rumah Tamimi dan memberkasnya. Encik Bassem, bapa kepada remaja itu berkata bahawa mereka turut merampas telefon, komputer dan peranti elektronik yang lain.

"Mereka tidak memberi sebab di sebalik penangkapannya," Encik Bassem memberitahu AFP.

Ibunya juga ditahan, dengan polis Israel menyatakan bahawa kedua-duanya akan ditahan sekurang-kurangnya sehingga Khamis.

Keluarga Tamimi adalah antara mereka yang lantang menentang pencerobohan tentera Israel di Tebing Barat. Malah gambar Ahed menggigit seorang askar Israel ketika cuba menyelamatkan salah seorang saudara lelakinya daripada ditangkap sudah menjadi imej yang simbolik.

Tambahan pula, satu lagi gambar dia bersemuka dengan askar Israel ketika masih kecil lagi juga pernah tersebar dengan meluas.

Ahed Tamimi juga pernah diundang bertemu dengan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada 2012.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota keluarga Tamimi yang bernama Mohammed sedang berangsur pulih di hospital selepas ditembak di kepala dengan peluru getah Jumaat lalu (15 Dis), menurut keluarganya.

Penduduk Palestin mengutuk keras penangkapan Ahed Tamimi di media sosial dengan menegaskan bahawa ia adalah hak seseorang individu untuk menentang pencerobohan pihak tentera.

Sungguhpun begitu, Menteri Pendidikan Israel Naftali Bennett berkata bahawa Tamimi boleh dikenakan hukuman penjara selama 7 tahun.  

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan