Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel meterai hubungan rasmi dengan Bahrain, UAE di Rumah Putih

Israel secara rasmi menyambung hubungan diplomatik dengan seteru-seteru lama Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu dalam satu upacara di Rumah Putih pada Selasa (15 Sep), sedang Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa perjanjian serupa hampir dicapai dengan negara-negara Arab lain termasuk Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel meterai hubungan rasmi dengan Bahrain, UAE di Rumah Putih

(Dari kiri) PM Israel Benjamin Netanyahu, Presiden AS Donald Trump, Menteri Ehwal Luar Bahrain Abdullatif Rashid Al Zayani, dan Menteri Ehwal Luar UAE Abdullah Zayed susuli pemeteraian 'Perjanjian Abraham' pada 15 Sep 2020 (Gamba: Alex Wong/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 12:36PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 12:44PM

WASHINGTON: Israel secara rasmi menyambung hubungan diplomatik dengan seteru-seteru lama Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu upacara di Rumah Putih pada Selasa (15 Sep), sedang Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa perjanjian serupa yang diatur Amerika Syarikat hampir dicapai dengan negara-negara Arab lain termasuk Arab Saudi.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan para menteri luar Bahrain dan UAE memeterai perjanjian yang merasmikan hubungan diplomatik sepenuhnya dalam upacara di Rumah Putih.

Ratusan tetamu menghadiri acara itu, yang diharapkan Encik Trump akan meningkatkan peluangnya dilantik semula dalam pilihan raya presiden pada November.

Bahrain dan UAE adalah negara-negara Arab pertama yang menjalin hubungan dengan Israel selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994 dan Encik Trump menyifatkannya sebagai satu "hari bersejarah untuk perdamaian di Timur Tengah".

Encik Trump berkata perjanjian itu, yang dikecam sebagai "pengkhianatan" oleh rakyat Palestin, "akan menyediakan asas untuk kedamaian menyeluruh di seluruh rantau itu".

Bercakap kepada para wartawan selepas majlis itu, beliau berkata Israel akan memetrai perjanjian serupa dengan "tujuh atau lapan atau sembilan" negara lain tidak lama lagi termasuk kuasa serantau Arab Saudi "pada waktu yang tepat".

Encik Netanyahu menyifatkan hari itu sebagai satu "titik tolak sejarah" dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump di atas "kepemimpinannya yang tegas".

"Pada akhirnya ia boleh menamatkan konflik Arab-Israel buat selama-lamanya," kata Encik Netanyahu.

"HURAIAN DUA NEGARA"

Kedua-dua Encik Trump dan Netanyahu tidak merujuk kepada rakyat Palestin dalam ucapan mereka, dan pemimpin Palestin Mahmud Abbas pada Selasa berkata bahawa keamanan hanya boleh dicapai di Timur Tengah jika Israel berundur dari wilayah-wilayah yang ditakluki.

"Keamanan, keselamatan dan kestabilan tidak akan dicapai di rantau ini sehingga penaklukan Israel berakhir," tegas Encik Abbas.

Ketika perjanjian itu ditandatangani di Washington, roket-roket dilancarkan ke Israel dari Carikan Gaza yang dikawal Hamas. Dua orang cedera ringan.

Kedua-dua menteri luar UAE dan Bahrain menyentuh tentang Palestin dalam ucapan mereka sebelum upacara menandatangani perjanjian.

"Terima kasih kerana memilih perdamaian dan menghentikan pengambilalihan wilayah-wilayah Palestin," kata Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed Al-Nahyan kepada Encik Netanyahu. "Saya berdiri di sini hari ini untuk menghulurkan jabatan tangan perdamaian."

Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al-Zayani berkata, "penyelesaian dua negara yang adil, menyeluruh dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel" akan menjadi "asas kuat" untuk kedamaian berpanjangan di Timur Tengah.

Menjelang upacara pemeteraian itu, beratus-ratus rakyat Palestin mengadakan bantahan pada Selasa menentang perjanjian bagi menjalinkan hubungan dengan Israel.

Sambil mengibarkan bendera Palestin dan memakai pelitup sebagai perlindungan terhadap COVID-19, para penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar Nablus dan Hebron di Tebing Barat yang ditakluki dan di Carikan Gaza.

Puluhan penunjuk perasaan pro-Palestin juga mengadakan bantahan di luar Rumah Putih.

"Ini adalah tikaman dari belakang kepada rakyat Palestin," kata Zeina Hutchison, ketua gabungan persatuan pro-Palestin yang menganjurkan tunjuk perasaan itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan