Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel larang jemaah Indonesia masuki Baitulmakdis: Ribuan jemaah terjejas

Jemaah Indonesia yang melakukan umrah ke Baitulmakdis dan kawasan-kawasan lain menerusi pintu masuk Israel tidak akan dapat berbuat demikian mulai 10 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel larang jemaah Indonesia masuki Baitulmakdis: Ribuan jemaah terjejas

Gambar hiasan kawasan di sekitar Baitulmakdis. (Gambar: THOMAS COEX/AFP)

Diterbitkan : 06 Jun 2018 01:11AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 01:13AM

INDONESIA: Jemaah Indonesia yang melakukan umrah ke Baitulmakdis dan kawasan-kawasan lain menerusi pintu masuk Israel tidak akan dapat berbuat demikian mulai 10 Jun ini.

Ini setelah Israel dilaporkan mengambil langkah mengharamkan para pemegang pasport Indonesia daripada memasuki wilayah-wilayahnya.

Lantaran itu, agensi pelancongan Indonesia terpaksa membatalkan dan merubah rancangan beribu-ribu jemaah yang ingin ke tempat-tempat seperti Baitulmakdis, Baitulaham, Hebron atau Jericho.

Langkah Israel itu dilaporkan diambil menyusuli tindakan Jakarta baru-baru ini yang menolak permohonan visa oleh 53 rakyat Israel untuk memasuki Indonesia. Menurut ABC News, pihak berkuasa Indonesia tidak menjelaskan sebab permohonan visa mereka ditolak.

Larangan kemasukan warga Indonesia itu bukan sahaja menjejas pelancong muslim dari Indonesia, tetapi juga para penganut agama lain kerana Baitulmakdis juga merupakan kota suci bagi para penganut Kristian dan Yahudi, selain Muslim.

Meskipun Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, rakyat kedua-dua negara selama ini boleh berkunjung ke negara satu sama lain dengan menggunakan visa.

ABC News menukil pengarah Agensi Pelancongan Agindo di Jakarta, Cecilia Patty sebagai berkata bahawa beliau dimaklumkan tentang larangan itu oleh rakan niaganya dari Israel pada 29 Mei.

Kebanyakan jemaah Indonesia memulakan perjalanan mereka ke Tanah Suci di Mesir, sebelum ke wilayah-wilayah Israel dan Palestin dan akhirnya di Jordan.

Cik Patty, tambah ABC News lagi, mengatakan bahawa kesan larangan itu akan terutama sekali dirasai oleh rakyat Palestin kerana jemaah Indonesia selalunya meluangkan masa di Baitulaham, Jericho dan Hebron.

Semasa musim Krismas, kebanyakan hotel di Baitulaham sesak dengan para pelancong Indonesia.

Encik Yudianto, seorang lagi wakil agensi pelancongan My Halal Trip Indonesia (MHTI) memberitahu agensi berita Amerika itu bahawa syarikatnya mendaftarkan 400 jemaah yang melawat ke Baitulmakdis selepas tarikh tamat tempoh 9 Jun.

"Kami akan berkunjung ke Mesir dan Jordan dan terpaksa membatalkan lawatan ke Baitulmakdis," kata Encik Yudianto.

Menteri Perundangan dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laolu, minggu lalu mengesahkan bahawa permohonan beberapa rakyat Israel yang ingin memasuki Indonesi ditolak.

"Beberapa hari lalu, permohonan visa 53 rakyat Israel ditolak. Itu benar," kata Encik Laoly kepada para wartawan. Ketika ditanya mengapa permohonan mereka ditolak, beliau berkata ia melibatkan perkara "sensitif".

Media tempatan membuat spekulasi bahawa keganasan terkini di Gaza mungkin sebab mengapa permohonan visa mereka ditolak, tetapi Menteri Ehwal Luar Retno Marsudi menolak jika ada sebarang faktor politik dalam keputusan mereka. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan