Images
  • mahathir (5)
    Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

Israel kritik M'sia kerana larang atlitnya bertanding

BAITULMAKDIS: Israel menuduh Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad sebagai "pelampau anti-Yahudi" selepas beliau mengatakan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah sebarang acara sukan membabitkan penyertaan warga Israel.

Minggu lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan atlit Israel bertanding dalam satu acara renang yang penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah pada Rabu (16 Jan) menegaskan bahawa negara itu tidak akan "menjadi tuan rumah acara-acara" disertai Israel.

"Ia bagi melawan untuk pihak mereka yang ditindas," tambahnya.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon mengkritik langkah "memalukan" Malaysia yang melarang para atlitnya dalam acara-acara sukan sambil menyifatkan langkah itu sebagai "sama sekali bertentangan dengan semangat Olimpik".

"Israel mengutuk keputusan yang jelas dipengaruhi pemikiran Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad yang sangat anti-Semitisme," katanya.

"Kami menggesa Jawatakuasa Paralimpik Antarabangsa supaya mengubah keputusan tidak wajar ini atau menukar tempat acara dianjurkan."

Kuala Lumpur menolak rayuan daripada badan sukan dunia itu untuk mencari huraian terhadap isu tersebut.

Malaysia adalah salah satu negara yang tidak mempunyai ikatan diplomatik dengan Israel. Pemegang pasport Israel tidak dibenarkan memasuki negara itu.

Perjuangan Palestin mendapat sokongan kuat Malaysia, di mana beribu-ribu orang mengadakan bantahan di jalan-jalan raya ketika Presiden Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel pada 2017.

Israel menakluki kawasan timur Baitulmakdis pada 1967 dan mengisytiharkan seluruh kota itu sebagai "ibu kota buat selamanya dan tidak dapat dipisahkan". Namun rakyat Palestin mendakwa bahawa kawasan timur itu adalah ibu kota negara mereka kelak.

Malaysia sebelum ini pernah menghalang para atlit Israel bertanding dalam acara sukan. Dua atlit sukan luncur angin terpaksa menarik diri daripada satu pertandingan di Langkawi selepas mereka gagal mendapatkan visa pada 2015.

Kuala Lumpur juga enggan mengadakan satu sidang bagi badan pentadbiran bola sepak FIFA pada 2017 kerana perwakilan Israel dijangka hadir dalam acara itu.

Kerajaan Malaysia sebelum ini difahamkan pernah membenarkan perwakilan peringkat tinggi Israel menghadiri sidang PBB di Kuala Lumpur pada 2018 dan keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai. 

- AFP/AQ/aq

Top