Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel ketatkan sekatan Gaza sedang layang-layang api cetus kebimbangan berlaku perang

Israel mengetatkan sekatannya di Semenanjung Gaza pada Selasa (17 Jul). Ini sebahagiannya disebabkan satu insiden layang-layang membawa bom api yang diterbangkan untuk membakar ladang pertanian Israel lantas menimbulkan kebimbangan tercetusnya satu lagi peperangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel ketatkan sekatan Gaza sedang layang-layang api cetus kebimbangan berlaku perang

Seorang askar Israel memegang layang-layang yang diterbangkan di sempadan Gaza. (Gambar: Menahem Kahana/ AFP)

Diterbitkan : 18 Jul 2018 11:54AM Dikemas Kini : 18 Jul 2018 11:58AM

BAITULMAKDIS: Israel mengetatkan sekatannya di Semenanjung Gaza pada Selasa (17 Jul). Ini sebahagiannya disebabkan satu insiden layang-layang membawa bom api yang diterbangkan untuk membakar ladang pertanian Israel lantas menimbulkan kebimbangan tercetusnya satu lagi peperangan.

Beberapa hari selepas insiden berbalas tembakan paling sengit antara Israel dan Hamas di Gaza sejak konflik 2014, Israel menyatakan bahawa ia menyekat penghantaran bahan api dan gas sehingga Ahad (22 Jul) menerusi satu-satunya laluan penghantaran barangan ke wilayah terkepung itu.

Zon perikanan yang dikuatkuasakan Israel di luar Semenanjung Gaza juga dikurangkan daripada enam batu nautika kepada tiga.

Laluan penghantaran barangan dikenali sebagai Kerem Shalom, akan terus dibuka untuk membawa makanan dan ubatan bergantung kepada kes-kes tertentu.

Ia sudah ditutup kepada kebanyakan penghantaran sejak 9 Julai lalu, sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap serangan bom api.

Tindakan itu menyusuli ketegangan sepanjang berbulan-bulan sekaligus meningkatkan kemungkinan perang keempat antara Israel dengan Hamas sejak 2008.

Selain insiden bom api menggunakan layang-layang dan tindakan berbalas tembakan hujung minggu lalu, bantahan besar-besaran dan pertembungan di sepanjang Gaza sejak 30 Mac lalu menyaksikan berpuluh-puluh penduduk Palestin ditembak mati tentera Israel.

HAMAS BERDEPAN TEKANAN

Hamas berdepan dengan tekanan lebih hebat selepas penutupan berkenaan, sedang keadaan dua juta penduduk di wilayah terkepung itu bertambah buruk.

Satu-satunya laluan sempadan lain Gaza dengan Mesir ditutup semalam (17 Jul), walaupun menurut sumber, ia ditutup kerana masalah 'teknikal.'

Ia mencetuskan spekulasi bahawa Mesir, yang menjadi perantara antara Israel dan Hamas, menutupnya bagi menambah tekanan kepada Hamas supaya mengekang penggunaan layang-layang sebagai bom api.

Israel berikrar tindak balas lebih tegas terhadap ratusan layang-layang api dan belon yang diterbangkan penduduk Gaza di pagar sempadan sejak April lalu.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menerima tekanan politik berhubung isu itu, mengarahkan tentera menghalangnya.

Dalam pada itu, Hamas menyelar penutupan laluan barangan Israel sebagai 'jenayah ke atas kemanusiaan' dan menuduhnya sengaja memperbesar-besarkan ancaman layang-layang api.

Perkhidmatan bomba Israel menyatakan, sekitar 750 kebakaran memusnahkan kira-kira 2,600 hektar tanah.

Seorang pensyarah sains politik di Gaza, Profesor Jamal al-Fadi bersetuju Hamas dapat menghentikan bom api itu, namun berkata ia mahu menggunakannya untuk meningkatkan tekanan supaya Israel melonggarkan sekatan.

"Hamas kini terhad untuk menggunakan tindak balas ketenteraan. Ia tidak berminat melakukan konfrontasi tentera kerana rakyat tidak menginginkan peperangan," kata Profesor Fadi. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan