Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel, Hamas persetujui gencatan senjata

Israel dan dua kumpulan utama di Gaza, Hamas dan Gerakan Jihad Palestin, mengumumkan gencatan senjata pada Khamis (20 Mei) dalam usaha menamatkan pertempuran paling sengit antara kedua-dua pihak dalam tempoh tujuh tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel, Hamas persetujui gencatan senjata

Seorang tentera Israel berjalan berhampiran sempadan Gaza di barat Israel pada 20 Mei 2021. (Gambar: Maya Alleruzzo/AFP)

Diterbitkan : 21 May 2021 08:41AM Dikemas Kini : 21 May 2021 08:43AM

GAZA: Israel dan dua kumpulan utama di Gaza, Hamas dan Gerakan Jihad Palestin, mengumumkan gencatan senjata pada Khamis (20 Mei) dalam usaha menamatkan pertempuran paling sengit antara kedua-dua pihak dalam tempoh tujuh tahun.

Genjatan senjata yang dirundingkan oleh Mesir itu diumumkan menyusuli tekanan antarabangsa yang semakin lantang bagi mendesak kedua-dua pihak supaya menamatkan konflik selama 11 hari itu yang meragut jiwa dari kedua-dua belah pihak, dengan jet-jet Israel membedil Gaza melalui serangan udara sedang para militan melancarkan ribuan roket ke arah Israel.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, kabinet keselamatannya 'dengan sebulat suara menerima saranan para pegawai keselamatan... untuk menerima inisiatif Mesir bagi satu genjatan senjata tanpa sebarang pra-syarat, untuk berkuat kuasa pada satu masa yang akan ditentukan".

Kumpulan Hamas dan Gerakan Jihad Palestin kemudian mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuat kuasa bermula jam 2.00 pagi hari ini (21 Mei) (7.00 pagi waktu Singapura).

Kenyatakan Israel menyatakan kempen udaranya di Gaza sudah membuat pencapaian "yang belum pernah dikecapi".

"Kepimpinan politik menekankan bahawa ia adalah satu realiti di lapangan yang akan menentukan masa depan operasi itu," tambahnya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata pada Khamis beliau akan "bersedia pada bila-bila masa untuk pergi ke Israel, ke Timur Tengah, jika itu akan memenuhi tujuan untuk menghentikan keganasan dan membantu dalam usaha memperbaiki kehidupan bagi orang Israel dan Palestin".

MESIR AKAN PANTAU

Pertempuran meletus pada 10 Mei selepas ketegangan beberapa hari di Baitulmakdis memuncak dengan mendadak.

Tentera Israel menyatakan Hamas dan kumpulan bersenjata Islam lain di Gaza melepaskan lebih 4,300 roket ke arah Israel tetapi kebanyakannya yang disasarkan ke kawasan berpenduduk dipintas oleh pertahanan udara Iron Dome.

Menurut polis, roket-roket itu meragut 12 jiwa di Israel termasuk dua kanak-kanak dan seorang tentera Israel. Seorang warga India dan dua rakyat Thailand juga antara mangsa yang terbunuh.

Serangan-serangan Israel ke atas Gaza membunuh 232 warga Palestin termasuk 65 kanak-kanak serta para militan manakala lagi 1,900 mangsa cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Siri serangan itu meninggalkan kawasan luas diselubungi runtuhan sekali gus menyebabkan 120,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Hamas.

Sumber-sumber diplomatik memberitahu AFP di Kaherah bahawa "dua delegasi Mesir akan dikerahkan ke Tel Aviv dan wilayah Palestin untuk memantau pelaksanaan serta prosedur (gencatan senjata) bagi mengekalkan keadaan stabil secara tetap".

Berita tentang perjanjian gencatan senjata api dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggesa ketegangan diredakan dengan segera.

Gencatan senjata itu juga diumumkan apabila Menteri Ehwal Luar Jerman Heiko Maas melawati rantau itu.

Berucap pada awal Khamis berdekatan Tel Aviv, beliau menyatakan "perpaduan" Jerman dengan Israel tetapi juga menyeru agar menghentikan pertempuran.

Israel menyatakan pasukannya di Al-Aqsa bertindak balas sebagai respons kepada warga Palestin yang membaling batu-bata.

Kempen pengeboman Israel meninggalkan dua juta penduduk Gaza, yang sudah berada di bawah sekatan Israel selama 14 tahun, hidup terdesak untuk bantuan.

Konflik ketenteraan itu meningkatkan ketegangan secara mendadak dan mencetuskan keganasan antara Yahudi dengan Arab-Israel, sementara penunjuk perasaan Palestin di Tebing Barat dan Timur Baitulmakdis berulang kali bertempur dengan pasukan keselamatan.

Di Tebing Barat, tentera Israel membunuh 25 warga Palestin sejak tercetusnya pertempuran. Angka korban terburuk selama bertahun-tahun di wilayah Palestin yang dicerobohi itu termasuk beberapa warga Palestin yang dikatakan oleh tentera Israel telah berusaha untuk menembak atau menikam tentera Israel di pusat-pusat pemeriksaan. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan