Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel dakwa Hamas hadang isyarat pertahanan udara dari bangunan media Gaza yang dimusnah

Israel menyatakan pada Selasa (8 Jun) bahawa bangunan media di Gaza yang disasarkannya telah digunakan oleh Hamas untuk menyekat isyarat pertahanan udara namun Associated Press, yang pejabatnya musnah dalam serangan itu, menuntut bukti.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel dakwa Hamas hadang isyarat pertahanan udara dari bangunan media Gaza yang dimusnah

Bangunan di Gaza yang tempatkan biro AP dan media lain runtuh setelah dibedil serangan udara Israel pada 15 Mei 2021. (Gambar: AP/Hatem Moussa)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 11:05AM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 11:11AM

WASHINGTON: Israel menyatakan pada Selasa (8 Jun) bahawa bangunan media di Gaza yang disasarkannya telah digunakan oleh Hamas untuk menyekat isyarat pertahanan udara namun Associated Press, yang pejabatnya musnah dalam serangan itu, menuntut bukti.

Duta besar Israel ke Amerika Syarikat, Gilad Erdan, memberikan penjelasan paling terperinci setakat ini mengenai keputusan untuk membedil menara itu ketika beliau bertemu dengan ketua agensi berita tersebut, Gary Pruitt, di ibu pejabatnya di New York.

"Unit (Hamas) itu sedang mengembangkan sistem penghadang elektronik untuk digunakan terhadap sistem pertahanan Kubah Besi," kata Encik Erdan, merujuk kepada perisai anti-peluru berpandu yang memintas bedilan roket Hamas.

Beliau menawarkan bantuan Israel dalam membangunkan semula biro Associated Press, salah satu agensi berita utama dunia selain Agence France-Presse dan Reuters, dan berkata beliau yakin kakitangan AP tidak menyedari tentang bagaimana Hamas didakwa menggunakan bangunan itu.

"Israel telah melakukan segala yang terdaya untuk memastikan bahawa tiada pekerja atau orang awam tercedera dalam operasi penting ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sehari selepas pertemuannya dengan para eksekutif AP.

"Sebaliknya, Hamas adalah badan pengganas pembunuhan beramai-ramai yang tidak mempedulikan media. Ia sengaja meletakkan mesin berbahayanya di tempat awam, termasuk di pejabat yang digunakan oleh media antarabangsa," katanya.

Menambah pada kenyataan duta besar itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan bahawa Hamas menyimpan peralatan khas di bangunan Menara Jala yang bertujuan mengganggu Kubah Besi.

"Serangan itu dirancang untuk meruntuhkan bangunan untuk memastikan pemusnahan alat khas," menurutnya dalam satu kenyataan.

"Sasaran itu memiliki nilai ketenteraan yang tinggi bagi Hamas dan disemak berdasarkan prosedur ketat dalam IDF, dan selaras dengan undang-undang antarabangsa."

The Associated Press menyifatkan perbincangan itu sebagai "positif dan membina" dan berkata Encik Erdan menjelaskan mengapa Israel melihat "ancaman mendesak" dari bangunan itu.

"Kami belum menerima bukti untuk menyokong dakwaan ini," kata badan berita itu dalam satu kenyataan.

"AP terus meminta pendedahan penuh bukti apa pun yang dimiliki orang Israel supaya fakta itu terdedah kepada umum."

Serangan tersebut terjadi dalam pertempuran ketenteraan antara 10 hingga 21 Mei, dengan Hamas membedil roket ke Israel sebagai tindak balas terhadap apa yang dikatakannya sebagai tindakan provokasi di Baitulmakdis terhadap penduduk Palestin.

Serangan Israel membunuh 260 penduduk Palestin, termasuk 66 kanak-kanak dan beberapa anggota kumpulan bersenjata, dan mencederakan lebih 1,900 orang, dedah kementerian kesihatan Gaza.

Roket dan serangan lain dari Gaza mengorbankan 13 orang di Israel, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang remaja Arab-Israel serta seorang tentera Israel, kata para pegawai perubatan dan tentera. Sekitar 357 orang tercedera di Israel.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan