Images
  • israel
    PM Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada Iran bahawa peluru berpandu Israel boleh menjangkau jarak "amat jauh". (Jack Guez/AFP)

Israel beri amaran kepada Iran peluru berpandunya boleh jangkau 'amat jauh'

HAIFA: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada Iran pada Selasa (12 Feb) bahawa peluru berpandu Israel boleh menjangkau jarak "amat jauh". Beliau berkata demikian pada hari sebelum satu sidang di Poland mengenai kedamaian dan keselamatan di Timur Tengah.

Bercakap semasa satu lawatan ke pangkalan tentera laut di utara pelabuhan Haifa, Encik Netanyahu berkata: "Peluru berpandu yang anda lihat di belakang saya boleh menjangkau jarak amat jauh, menentang sebarang musuh termasuk sekutu-sekutu Iran di rantau kita", sebagai merujuk kepada gerakan Hezbollah di Lubnan.

Encik Netanyahu sudah berulang kali mengatakan Israel tidak akan membenarkan Iran dan sekutunya Hezbollah untuk berkubu di Syria, di mana mereka sedang menyokong rejim Damsyik menentang pihak pemberontak dan militan.

Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara di Syria sejak beberapa tahun lalu terhadap sasaran pasukan Iran dan Hezbollah.

Pada Rabu, perdana menteri Israel itu bakal menghadiri satu persidangan antarabangsa di Warsaw yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dan Poland.

Bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo mengumumkan bahawa persidangan selama dua hari itu akan menumpukan kepada "pengaruh yang menyebabkan ketidakstabilan" Iran di Timur Tengah.

- AFP/NA/na

Top