Images
  • serangan udara yaman
    (Gambar: Reuters)

Iran kutuk serangan udara Saudi ke atas Yaman

TEHRAN: Iran pada Jumaat (17 Mei) mengutuk serangan udara yang diketuai oleh musuh ketatnya Arab Saudi ke atas kawasan-kawsan dikuasai pemberontak di Yaman dengan menyifatkannya sebagai satu "jenayah".

Serangan pada Khamis itu menyusuli serangan dron pemberontak yang menutup salah satu saluran paip minyak utama kerajaan itu awal minggu ini yang menurut Riyadh dilakukan atas perintah Tehran.

"Kami menyeru masyarakat antarabangsa dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia untuk melaksanakan komitmen mereka dan menghentikan jenayah seperti ini daripada berlaku lagi dengan apa-apa cara yang mungkin," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Seyed Abbas Mousavi.

"Negara-negara yang menyokong pihak-pihak yang menyerang di Yaman dengan membekalkan senjata dan bom kepada perikatan itu mempunyai tanggungjawab bersama ke atas jenayah ini dan mesti dipertanggungjawabkan," katanya dalam satu kenyataan di Telegram.

Encik Mousavi tidak mengulas mengenai tuduhan Riyadh bahawa Tehran adalah dalang serangan pemberontak pada Selasa ke atas saluran paip Arab Saudi

Badan bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyatakan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 48 orang cedera dalam serangan udara pasukan bersekutu di ibu kota Yaman yang dikuasai pemberontak, Sanaa pada Khamis.

Pejabat kemanusiaan PBB, OCHA, kemudian menyatakan lima kanak-kanak terbunuh dan 16 orang cedera dalam serangan tersebut.

Perikatan itu telah campur tangan di Yaman pada Mac 2015 apabila Presiden Abedrabbo Mansour Hadi hidup dalam buangan di Arab Saudi ketika pemberontak bersiap untuk menguasai Aden setelah menakluki kebanyakan kawasan di negara itu.

Serangan udara di kawasan pemberontak berkali-kali dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia ekoran angka korban awam yang tinggi.

- AFP/TQ/tq

Top