Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran dakwa Israel bunuh saintis nuklear tentera dari jarak jauh

Seorang pegawai tinggi keselamatan Iran pada Isnin (30 Nov) menuduh Israel menggunakan "alat-alat elektronik" untuk membunuh dari jarak jauh seorang saintis yang mengasaskan program nuklear tentera Tehran pada tahun 2000-an.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran dakwa Israel bunuh saintis nuklear tentera dari jarak jauh

Pengebumian saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh, pada 30 Nov 2020 (Gambar: AP)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 11:44AM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 11:49AM

TEHRAN: Seorang pegawai tinggi keselamatan Iran pada Isnin (30 Nov) menuduh Israel menggunakan "alat-alat elektronik" untuk membunuh dari jarak jauh seorang saintis yang mengasaskan program nuklear tentera Tehran pada tahun 2000-an.

Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Keselamatan Nasional negara itu, Ali Shamkhani, berkata demikian semasa upacara pengebumian Mohsen Fakhrizadeh, di mana menteri pertahanan Iran secara berasingan berikrar akan meneruskan kerja saintis itu "dengan lebih cepat dan lebih gigih."

Israel, yang telah lama disyaki membunuh para saintis nuklear Iran sepanjang sedekad lalu, berulang kali enggan mengulas tentang serangan itu.

Encik Fakhrizadeh mengetuai program AMAD Iran, yang dituduh oleh Israel dan Barat sebagai operasi tentera yang meneroka kemungkinan membangunkan senjata nuklear. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menyatakan bahawa "program berstruktur" berakhir pada 2003. Agensi-agensi risikan Amerika Syarikat bersetuju dengan penilaian itu dalam satu laporan pada 2007.

Israel menegaskan Iran masih mempunyai cita-cita untuk membangunkan senjata nuklear, dengan merujuk kepada program peluru berpandu balistik Tehran dan kajian teknologi-teknologi lain. Iran sejak sekian lama menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan damai.

Komen Encik Shamkhani secara mendadak mengubah jalan cerita mengenai pembunuhan Encik Fakhrizadeh, yang berlaku pada Jumaat. Pihak berkuasa pada awalnya mengatakan sebuah lori meletup dan beberapa lelaki bersenjata kemudian melepaskan tembakan ke arah saintis itu, yang membunuhnya dan seorang pengawal. Penyiar rasmi negara bahkan menemubual seorang lelaki pada malam serangan itu yang menggambarkan beliau melihat beberapa lelaki bersenjata melakukan serangan.

Stesen bahasa Inggeris penyiar negara, Press TV melaporkan pada awal Isnin bahawa senjata yang ditemui di tempat serangan itu mempunyai "lambang dan spesifikasi industri tentera Israel." Saluran bahasa Arab penyiar negara, Al-Alam, mendakwa senjata yang digunakan "dikawal oleh satelit," satu dakwaan yang juga dibuat pada Ahad oleh agensi berita separa rasmi Fars.

Namun tiada agensi berita yang segera menawarkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka, yang juga menjadi satu cara untuk pihak berkuasa menjelaskan mengapa tiada penangkapan dibuat di tempat kejadian.

Encik Shamkhani juga menyalahkan kumpulan pemberontak Iran, Mujahedeen-e-Khalq (MEK), kerana "mempunyai peranan dalam hal ini," tanpa memberi penjelasan lanjut. MEK disyaki membantu operasi Israel di Iran pada masa lalu. Seorang jurucakap MEK, Shahin Gobadi, menepis kenyataan Encik Shamkhani sebagai "amukan, dendam dan pembohongan" yang dicetuskan oleh pendedahan kumpulan itu mengenai program nuklear Iran.

Menteri Pertahanan Jeneral Amir Hatami semasa pengebumian Encik Fakhrizadeh berkata pembunuhannya akan membuat rakyat Iran "lebih bersatu, lebih bertekad."

"Bagi pelanjutan tugasmu, kami akan teruskan dengan lebih cepat dan lebih gigih," kata Jeneral Hatami dalam komen yang disiarkan secara langsung oleh penyiar negara.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan