Images
  • iran (3)
    Bendera Iran. (Gambar: Reuters) 

Iran bakal mula semula aktiviti reaktor nuklear Arak

GENEVA: Ketua Agensi Tenaga Atom Iran, Ali Akbar Salehi, memberitahu anggota parlimen hari ini (28 Jul) bahawa Iran akan memulakan semula aktiviti di reaktor nuklear air-berat Arak, menurut agensi berita ISNA.

ISNA memetik seorang anggota parlimen sebagai berkata, air-berat boleh digunakan dalam reaktor untuk menghasilkan plutonium, bahan api yang digunakan dalam kepala peledak nuklear.

Iran berhenti mematuhi beberapa komitmen dalam perjanjian nuklear 2015 yang dipersetujui dengan kuasa utama dunia selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 dan mengenakan semula sekatan ke atas Tehran.

Penandatangan yang lain cuba mematuhi perjanjian nuklear bersama-sama, satu tugas yang semakin sukar kerana ketegangan antara Washington dan Tehran yang melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan China akan bertemu Iran di Vienna untuk membincangkan cara menyelamatkan perjanjian itu dalam pertemuan yang luar biasa.

Pada 3 Julai lalu, Presiden Hassan Rouhani berkata, Tehran akan meningkatkan tahap pengayaan uraniumnya dan mula menghidupkan reaktor air-berat Arak selepas 7 Julai jika negara-negara anggota perjanjian nuklear tidak melindungi perdagangan dengan Iran seperti yang dijanjikan tetapi disekat oleh Amerika Syarikat.

Kuasa-kuasa barat mahu cita-cita nuklear Iran dibendung kerana kebimbangan mereka bahawa Tehran membina senjata nuklear.

Namun Tehran menafikan dakwaan tersebut.

Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Pelan Bertindak Komprehensif Bersama (JCPOA) pada hari Ahad akan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Perkhidmatan Luar Negeri Kesatuan Eropah, Helga Schmid.

- REUTERS/SU/na

Top