Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran ancam akan perkaya uranium sehingga 60% jika perlu

Pemimpin Ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei mengisytiharkan pada Isnin (22 Feb) bahawa Iran mungkin akan memperkayakan uranium sehingga 60 peratus bersih jika negara itu memerlukannya dan tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat berhubung program nuklear negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran ancam akan perkaya uranium sehingga 60% jika perlu

Gambar fail pemimpin iran Ayatollah Ali Khamenei (Gambar: Reuters/Caren Ferouz)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 10:00AM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 10:02AM

TEHRAN: Pemimpin Ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei mengisytiharkan pada Isnin (22 Feb) bahawa Iran mungkin akan memperkayakan uranium sehingga 60 peratus bersih jika negara itu memerlukannya dan tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat berhubung program nuklear negara itu, lapor stesen televisyen rasmi Iran.

Perjanjian nuklear 2015 yang dimeterai Iran bersama dengan enam kuasa besar dunia, yang dicabulinya sejak Amerika Syarikat menarik diri pada 2018, menghadkannya pada paras 3.67 peratus, lebih rendah berbanding 20 peratus yang dicapai negara itu sebelum mempersetujui perjanjian tersebut dan jauh lebih rendah berbanding paras 90 peratus yang sesuai digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

"Tahap pengayaan uranium Iran tidak akan terbatas pada paras 20 peratus. Kami akan meningkatkannya ke tahap apa saja yang diperlukan oleh negara ... Kami dapat menaikkannya sehingga 60 peratus," lapor stesen tersebut yang menukil Encik Khamenei, sekali gus meningkatkan ketegangan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berhubung masa depan perjanjian berkenaan.

"Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang menyokong perjanjian itu menggunakan bahasa yang tidak adil terhadap Iran ... Iran tidak akan tunduk kepada tekanan ini. Pendirian kami tidak akan berubah," tegas Encik Khamenei.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Ned Price mengatakan komen Encik Khamenei "berbunyi seperti satu ancaman" dan beliau tidak mahu mengulas terhadap apa yang disifatkannya semata-mata sebagai satu 'hipotesis'.

Beliau turut menekankan kesediaan Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan dengan Iran berhubung perjanjian nuklear 2015.

Pentadbiran Biden minggu lalu menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk kembali ke meja rundingan dengan Iran berhubung perjanjian yang menyaksikan mantan presiden Donald Trump mengundurkan diri daripada perjanjian tersebut.

Tehran menyatakan minggu lalu bahawa pihaknya sedang meneliti saranan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengadakan pertemuan tidak rasmi antara para anggota sedia ada dengan Amerika Syarikat tetapi belum lagi memberikan responsnya.

Iran, yang menyambung semula pengayaan uranium sehingga 20 peratus dalam usaha yang jelas sekali untuk meningkatkan lagi tekanan terhadap Amerika Syarikat, bertikai dengan Washington mengenai pihak mana yang sepatutnya mengorak langkah untuk menghidupkan semula perjanjian tersebut.

Walaupun menghadapi tekanan domestik untuk meringankan keperitaan ekonomi yang diburukkan lagi oleh sekatan-sekatan yang dikenakan, para pemimpin Iran menegaskan bahawa Washington mesti mengorak langkah terlebih dahulu untuk menghidupkan semula perjanjian itu, sementara Washington pula bertegas Tehran mesti terlebih dahulu mematuhi sepenuhnya perjanjian tersebut.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan