Images
  • social media generic
    (Gambar hiasan: Chandan Khanna/AFP) 

Instagram, PlayStation alami gangguan

SAN FRANCISCO: Satu gangguan ke atas Instagram pada Khamis (13 Jun) membuatkan para pengguna rangkaian sosial milik Facebook itu beralih ke Twitter untuk melepaskan kemarahan.

Laman web DownDetector.com menunjukkan jumlah laporan mengenai gangguan Instagram melonjak pada waktu petang, hampir mencecah 54,000 sebelum ia merosot semula.

"Awal hari ini, satu isu teknikal menyebakan beberapa orang menghadapi masalah mengakses akaun Instagram mereka. Kami telah memulihkan khidmat sepenuhnya dan meminta maaf di atas kesulitan itu," kata seorang jurucakap Instagram dalam satu kenyataan. 

Para pengguna wadah tersebut yang menggunakan 'hashtag' #instagram di Twitter memberitahu bahawa akses kepada khidmat itu di aplikasi telefon bimbit atau komputer berakhir dengan pesanan-pesanan seperti "couldn't refresh feed" (tidak dapat mengemas kini urutan kandungan) atau "something went wrong" (sesuatu tidak kena).

Selain aduan dan gif animasi mengenai kesulitan tersebut, ada juga pengguna yang menawarkan kata-kata bijaksana. Satu tweet mengatakan, jika Instagram atau media sosial ditutup pada jam 6.00 petang setiap hari ibarat sebuah kedai, semua orang akan terpaksa berbual antara satu sama lain dalam kehidupan sebenar.

Sementara itu, beberapa pemain yang cuba mengakses rangkaian PlayStation pada hari sama juga menerima mesej ralat.

"Kami sedia maklum beberapa pengguna mengalami masalah untuk daftar masuk ke dalam PSN. Terima kasih atas kesabaran anda sedang kami jalankan siasatan," menurut pegawai akaun Twitter Ask PlayStation.

Menurut DownDetector.com, gangguan-gangguan tersebut tertumpu kepada utara Eropah dan Britain serta beberapa bahagian Amerika Syarikat dan Brazil. 

- AFP/FZ/fz

Top