Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Insiden tembakan Christchurch: "Dia masuk masjid, tembak jemaah"

Dua insiden tembakan berlaku di dua masjid di bandar raya Christchurch pada Jumaat (15 Mac) mengakibatkan sejumlah besar mangsa terbunuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Insiden tembakan Christchurch: "Dia masuk masjid, tembak jemaah"

Petikan skrin menunjukkan anggota polis siap bersedia. (Gambar: Laurent Fievet/ TV New Zealand/AFP)

Diterbitkan : 15 Mar 2019 12:41PM Dikemas Kini : 15 Mar 2019 12:44PM

CHRISTCHURCH: Dua insiden tembakan berlaku di dua masjid di bandar raya Christchurch pada Jumaat (15 Mac) mengakibatkan sejumlah besar mangsa terbunuh.

Polis belum mengeluarkan kenyataan berhubung skala insiden itu namun menasihatkan orang ramai di tengah Christchurch supaya jangan keluar rumah.

Seorang saksi berkata beliau melihat seorang lelaki memasuki Masjid Al Noor di tengah Christchurch kira-kira pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan dan mendengar puluhan das tembakan dilepaskan selepas itu.

Sejurus itu, orang ramai dilihat bertemparan lari keluar dari masjid dalam keadaan ketakutan.

Cik Len Peneha, yang tinggal berjiran dengan masjid itu berkata, lelaki bersenjata tersebut kemudiannya dilihat keluar dari masjid dan menjatuhkan senjatanya di hadapan rumahnya sebelum berlalu pergi.

Cik Peneha kemudiannya turut pergi ke masjid itu untuk menghulurkan bantuan.

"Saya lihat mayat di sana sini. Ada tiga di satu lorong, di pintu masuk masjid, dan di dalam masjid. Semacam tidak percaya ini boleh berlaku.

"Saya tak faham bagaimana orang boleh melakukan sebegini kepada orang lain. Ia tidak masuk akal," katanya.

Katanya, beliau membantu memberi rawatan kepada lima mangsa di rumahnya. Seorang daripadanya mengalami kecederaan ringan.

"Saya sudah lima tahun tinggal di sebelah masjid ini. Penduduknya selama ini sangat baik, sangat peramah. Saya tak faham bagaimana ini boleh terjadi."

Kata Cik Peneha, lelaki bersenjata itu berkulit putih dan memakai topi keledar yang mempunyai alat di atas kepala, seakan-akan seperti anggota militari.

New Zealand Herald juga melaporkan terdapat kejadian tembakan kedua di satu lagi masjid di bandar raya itu, iaitu di Masjid Linwood.

Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti angka korban sebenar.

Dalam sejarah New Zealand, hanya terdapat sejumlah kecil kes tembakan berlaku di negara itu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan