Images
  • accident (1)
    (Gambar: Bernama)

Insiden budak tercampak di lebuh raya harus dijadikan pengajaran

PELABUHAN KLANG: Insiden seorang anak kecil tercampak keluar daripada kereta yang dipandu bapanya di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin (10 Feb) sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook berkata penggunaan CRS dengan betul dapat memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan dan tidak tercampak keluar daripada kereta sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam insiden itu, kanak-kanak berkenaan bernasib baik kerana kereta di belakangnya sempat berhenti. Bayangkan jika (kereta) tidak sempat berhenti, tidakkah mereka (ibu bapa kanak-kanak itu) akan berasa kesal sepanjang hayat?

“Saya harap insiden ini akan beri pengajaran kepada semua mengenai kepentingan penggunaan CRS," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan pada Khamis (13 Feb).

Awal dari itu, beliau melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center dan tapak pameran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang.

PUNCA KEMALANGAN LAIN JUGA DIKAJI

Tambah Encik Loke, walaupun kementeriannya sentiasa memberi penekanan terhadap penggunaan CRS, namun ia tidak bermakna pihaknya tidak melihat perkara lain yang boleh menjadi punca kemalangan termasuk memandu dalam keadaan mabuk.

"Kemalangan biasanya membabitkan pelbagai faktor. Warganet mempersoalkan mengapa saya hanya bercakap mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak sedangkan kita juga akan memperketatkan undang-undang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan kementeriannya untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, beliau berkata pihaknya sedang menunggu draf pindaan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, draf berkenaan akan terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum dibaca untuk kali pertama.

HUKUMAN BERAT AKAN DIKENAKAN

"Selepas bacaan kali pertama, kementerian akan umumkan mengenainya. Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu bila tarikh bacaan pertama ini akan dibuat kerana ia melibatkan proses tertentu.

“Namun, apa yang ingin saya tegaskan adalah pindaan ini akan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah jika mereka terlibat dalam kes yang menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Kebelakangan ini, masyarakat mendesak kerajaan supaya meminda akta sedia ada dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan maut.

Sebelum ini, Encik Loke dilaporkan sebagai berkata bahawa Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta memandu secara berbahaya. 

- BERNAMA/TQ/tq

Top