Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ini cara muda-mudi Jepun rai Hari Usia Dewasa di tengah pandemik COVID-19

Sejak 1948, Hari Usia Dewasa diraikan sebagai cuti umum bagi menyambut muda-mudi berusia 20 tahun sebagai orang dewasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini cara muda-mudi Jepun rai Hari Usia Dewasa di tengah pandemik COVID-19

Para belia menyambut Hari Kedatangan Usia di Yokohama di tengah-tengah pandemik COVID-19. (Gambar: Reuters/Issei Kato)

Diterbitkan : 12 Jan 2021 12:07AM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 12:44AM

TOKYO: Kerajaan Jepun menetapkan seseorang itu dianggap dewasa setelah mencapai usia 20 tahun. Sejak 1948, Hari Usia Dewasa diraikan sebagai cuti umum bagi menyambut muda-mudi berusia 20 tahun sebagai orang dewasa.

Pada Isnin kedua setiap bulan Januari, mereka yang berusia 20 tahun mengambil bahagian dalam upacaragilang gemilang di balai kota dan ruang awam.

Sebagai sebahagian upacara, remaja perempuan akan mengenakan kimono yang indah dan berwarna-warni manakala si jejaka pula segak berpakaian tradisional Jepun atau moden.

Dek COVID-19, upacara sedemikian dibatalkan atau ditunda di banyak bandar dengan perintah darurat diisytiharkan di Tokyo dan tiga wilayah berdekatan.

Penduduk juga tidak digalak menganjurkan pesta bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Bandar Yokohama, di selatan Tokyo, antara yang meneruskan penganjuran sambutan di dewan konvensyen Yokohama North Pacifico dan dewan acara Arena Yokohama.

"Saya ambil keputusan untuk meneruskan upacara hari ini kerana saya berharap sangat semua mengambil bahagian menyambut detik penting dalam kehidupan mereka," kata datuk bandar, Encik Fumiko Hayashi, dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada mereka yang hadir.

Selaras dengan pengurusan selamat, para hadirin memakai pelitup, suhu badan mereka diperiksa dan berbanding upacara tahun-tahun sebelumnya, mereka diminta mendengar dan bukan bernyanyi sama lagu kebangsaan.

"Saya datang kerana saya sudah menyediakan kimono saya dan mengambil langkah untuk mengelak daripada jangkitan. Saya tidak begitu bimbang," kata Mei Ohno, seorang pelajar kolej.

"Saya baru sahaja berjumpa kawan lama selepas sekian lama. Saya seronok. Selepas upacara ini, saya akan bergambar bersama kawan-kawan di stesen dan terus pulang ke rumah."

Jepun mencatat sekitar 289,000 kes COVID-19 dengan 4,067 kematian, menurut penyiar awam NHK.  

Sumber : Reuters/NJ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan