Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia temui kerosakan 'kecil' pada 2 pesawat 737-MAX susuli nahas Lion Air

Kementerian Pengangkutan Indonesia pada Jumaat (2 Nov) menyatakan bahawa ia mendapati dua kerosakan "kecil" pada dua pesawat Boeing 737-MAX 8, termasuk masalah pada paparan penunjuk kokpit.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia temui kerosakan 'kecil' pada 2 pesawat 737-MAX susuli nahas Lion Air

Lagi 2 pesawat lain jenis Boeing 737-MAX 8 di Indonesia - jenis yang sama dengan pesawat Lion Air terhempas di Laut Jawa - didapati ada 2 kerosakan. (Gambar: Beawiharta/Reuters)

Diterbitkan : 02 Nov 2018 11:52PM Dikemas Kini : 03 Nov 2018 12:04AM

JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia pada Jumaat (2 Nov) menyatakan bahawa ia mendapati dua kerosakan "kecil" pada dua pesawat Boeing 737-MAX 8, termasuk masalah pada paparan penunjuk kokpit, yang menurut seorang penganalisis mungkin serupa dengan masalah yang dialami oleh pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut pada Isnin (29 Okt).

Kementerian itu sedang memeriksa 10 pesawat baru milik Lion Air dan Garuda. Ini sedang pihak berkuasa menganalisis data daripada kotak hitam pesawat malang itu, yang mungkin dapat memberi gambaran mengenai punca pesawat JT610 itu terhempas ke dalam Laut Jawa, dan meragut nyawa 189 orang.

Kementerian itu menyatakan bahawa ia sudah meneliti lebih enam pesawat berkenaan setakat ini dan mendapati bahawa salah sebuah pesawat mempunyai masalah pada paparan kokpit, manakala sebuah lagi pesawat mengalami masalah pada sistem penstabilan pesawat.

Kedua-dua pesawat milik Lion itu memerlukan komponen baru, menurut kementerian tersebut.

Dudi Sudibyo, seorang penganalisis penerbangan, berkata bahawa isu paparan kokpit itu mungkin juga melibatkan masalah kelajuan dan ketinggian yang dilaporkan dialami oleh pesawat malang tersebut.

"Ini mungkin merupakan isu kecil namun ia harus diperbaiki," kata beliau.

"Jika terdapat sebarang masalah, walaupun kecil, pesawat itu tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi."

Pesawat Lion Air yang berlepas dari Jakarta ke bandar Pangkal Pinang itu adalah antara pesawat komersil yang terbaru dan paling canggih di dunia.

Syarikat penerbangan tambang murah Lion Air mengaku bahawa pesawat berkenaan mengalami isu teknikal semasa penerbangan sebelumnya, sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada terdapat kerosakan mekanikal pada model pesawat baru itu.

Jawatankuasa Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) Indonesia menyatakan ia sedang menemu bual para penumpang yang menaiki pesawat itu sehari sebelum nahas tersebut berlaku.

Sesetengah penumpang melaporkan bahawa penerbangan itu agak menakutkan dan tidak menentu, dan ini turut disokong oleh data pemantauan penerbangan. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan