Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia siap berdepan lonjakan kes COVID-19 setelah Aidilfitri: Menteri Kesihatan

Pemerintah Indonesia sedang bersiap sedia menghadapi lonjakan kes COVID-19 setelah ribuan penduduk negara itu pulang ke kampung halaman mereka untuk berhari raya meskipun mudik lebaran dilarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia siap berdepan lonjakan kes COVID-19 setelah Aidilfitri: Menteri Kesihatan

Seorang pelajar di Indonesia diperiksa suhu badannya pada 24 Mac 2021 di tengah penularan COVID-19 (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)

Diterbitkan : 17 May 2021 10:25PM Dikemas Kini : 17 May 2021 10:30PM

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang bersiap sedia menghadapi lonjakan kes COVID-19 setelah ribuan penduduk negara itu pulang ke kampung halaman mereka untuk berhari raya meskipun mudik lebaran dilarang.

Tempat-tempat daya tarikan pelancong juga dipenuhi pengunjung sejak beberapa hari lalu, sempena cuti Aidilfitri, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin pada Isnin (17 Mei).

Bercakap di sidang media bersama dengan menteri penyelaras bagi ehwal ekonomi merangkap ketua agensi bencana, Encik Sadikin berkata terdapat peningkatan kes COVID-19 selepas cuti umum sebelum ini antara 30 peratus hingga 90 peratus.

Oleh itu, pemerintah sudah menyediakan katil tambahan bagi pesakit COVID-19 kali ini, kata menteri kesihatan tersebut.

"Kami sudah menjangkakannya. Di seluruh negara, kini terdapat 70,000 katil pengasingan untuk pesakit COVID-19. Jumlah yang digunakan ialah 20,000. Jadi masih ada 50,000 katil tambahan.

"Hal yang sama juga bagi katil ICU. Indonesia mempunyai 7,500 katil ICU untuk pesakit COVID-19. Dan sehingga semalam, 2,500 telah diisi. Jadi kami masih mempunyai tambahan 200 peratus,” katanya lagi.

Menurut Encik Sadikin mereka juga telah memastikan trdapat cukup bekalan ubat-ubatan serta pekerja kesihatan.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Ehwal Ekonomi Airlangga Hartanto berkata, meskipun keadaannya terkawal, 15 wilayah telah menyaksikan peningkatan kes aktif seperti di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Riau, selain di Jakarta.

Encik Hartanto, yang juga ketua jawatankuasa mitigasi dan pemulihan ekonomi nasional COVID-19, berkata bahawa ujian rambang akan dikenakan ke atas pengunjung dari wilayah Jawa yang ingin memasuki Jakarta.

Pelawat dari Sumatera juga perlu menjalani pemeriksaan wajib apabila menyeberang ke Jawa, tambahnya.

Beliau berkata 1.5 juta orang meninggalkan ibu kota Jakarta untuk cuti Aidilfitri. Seramai 440,000 telah pergi ke Sumatera dan 1.2 juta lagi ke Jawa.

Kes COVID-19 di Indonesia memuncak pada Februari. Sejak itu, jumlah kes harian yang dicatatkan mula merosot.

Pada Isnin, Indonesia mencatatkan 4,295 kes baru COVID-19 dengan 212 kematian. Kini terdapat lebih 1.7 juta kes COVID-19 dan sekitar 48,000 kematian di seluruh negara. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan