Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia sekat sebahagian ciri media sosial ekoran keganasan di Jakarta

Indonesia akan mengenakan separa sekatan ke atas media sosial untuk mencegah penyebaran kepalsuan susuli keganasan yang tercetus di ibu kota Jakarta. Ia berlaku setelah pengumuman rasmi keputusan pilihan raya presiden negara itu, menurut Menteri Keselamatan pada Rabu (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia sekat sebahagian ciri media sosial ekoran keganasan di Jakarta

Ketua Menteri Keselamatan Indonesia Wiranto. (Gambar fail: Beawiharta/REUTERS)

Diterbitkan : 22 May 2019 08:25PM Dikemas Kini : 22 May 2019 08:29PM

JAKARTA: Indonesia akan mengenakan separa sekatan ke atas media sosial untuk mencegah penyebaran kepalsuan susuli keganasan yang tercetus di ibu kota Jakarta. Ia berlaku setelah pengumuman rasmi keputusan pilihan raya presiden negara itu, menurut Ketua Menteri Keselamatan pada Rabu (22 Mei).

"Untuk mengelakkan provokasi, penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat, kami akan mengehadkan akses bagi ciri-ciri tertentu di media sosial," kata Encik Wiranto.

Enam orang mati dalam pergolakan yang meletus di Jakarta pada Selasa malam setelah suruhanjaya pilihan raya mengesahkan Presiden Joko Widodo memenangi pilihan raya presiden yang diadakan bulan lalu.

Tunjuk perasaan oleh penyokong mantan jeneral Prabowo Subianto, iaitu pesaing Encik Widodo bagi jawatan presiden, bermula secara aman namun bertukar menjadi ganas pada sebelah malam. Keadaan itu memaksa pihak polis untuk menembak gas pemedih mata demi menyuraikan orang ramai.

"Setakat jam 9.00 pagi ini, 200 orang yang cedera sudahpun dibawa ke lima hospital," kata Gabenor Anies Baswedan.

"Jumlah orang yang mati adalah enam."

Beliau menambah hospital sedang menjalankan pembedahan mayat untuk memastikan punca kematian.

BALAI POLIS JADI SASARAN

Agensi berita Antara melaporkan sebilangan kecil penunjuk perasaan cuba untuk menyerang balai polis berhampiran kawasan Tanah Abang di Jakarta tengah dan menggunakan meja sebagai penghadang.

Beberapa bangunan pejabat dan kedutaan serta stesen kereta api di pusat bandar Jakarta ditutup pada Rabu.

Ratusan polis lengkap dengan pakaian dan peralatan rusuhan mengepung persimpangan Sarinah, yang biasanya sibuk, untuk meredakan kesesakan yang dijangka bertambah teruk menjelang waktu petang hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Republik Indonesia mengesahkan hasil kiraan tidak rasmi oleh peninjau bebas pada pilihan raya 17 April bahawa Encik Widodo memperolehi 55.5 peratus undi berbanding 44.5 peratus yang diraih pesaingnya Encik Prabowo Subianto.

Encik Widodo meraih lebih 85 juta undi daripada 154 juta undian dalam negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu. Bagaimanapun Encik Prabowo pula memberitahu pemberita bahawa beliau percaya terdapat penipuan yang meluas. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan