Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia perketat keselamatan di mahkamah; sedang pembangkang tuntut pilihan raya baru

Para peguam mewakili pihak pembangkang di Indonesia pada Jumaat (14 Jun) menggesa keputusan pilihan raya presiden yang mengisytiharkan Joko Widodo sebagai pemenangnya dibatalkan. Mereka memberitahu mahkamah bahawa kemenangan itu diraih melalui "penipuan yang sistematik dan salah guna kuasa".

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia perketat keselamatan di mahkamah; sedang pembangkang tuntut pilihan raya baru

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Jun 2019 04:54PM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 04:58PM

JAKARTA: Para peguam mewakili pihak pembangkang di Indonesia pada Jumaat (14 Jun) menggesa keputusan pilihan raya presiden yang mengisytiharkan Joko Widodo sebagai pemenangnya dibatalkan. Mereka memberitahu Mahkamah Perlembagaan bahawa kemenangan itu diraih melalui "penipuan yang sistematik dan salah guna kuasa".

Keputusan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bulan lalu menunjukkan bahawa Encik Widodo mengalahkan Encik Prabowo Subianto, seorang mantan jeneral, dengan 11 peratusan mata untuk meraih 55 peratus undi semasa pilihan raya pada April lalu. Namun, lawannya itu enggan mengaku kalah.

Pertikaian itu mencetuskan ketidaktentuan yang berlarutan selama berminggu-minggu di demokrasi ketiga terbesar di dunia. Bantahan ganas tercetus antara pihak polis dengan para penyokong Encik Prabowo di ibu kota Jakarta bulan lalu menyusuli pengumuman tersebut.

Lapan orang terbunuh dan lebih 900 yang lain cedera dalam rusuhan-rusuhan yang tercetus. Pihak polis memberkas berpuluh-puluh suspek, termasuk rakan Encik Prabowo yang disyaki mendalangi pakatan untuk membunuh pegawai kanan pemerintah.

Sekitar 17,000 anggota polis dan tentera sudah dikerahkan untuk mencegah rusuhan bulan lalu daripada berulang lagi, sedang Mahkamah Perlembagaan menimbangkan hukumannya. Satu tunjuk perasaan aman berskala kecil dianjurkan penyokong pembangkang dekat dengan bangunan mahkamah yang dikawal rapi.

Encik Prabowo dan para penyokong kempennya menuntut agar mahkamah membatalkan keputusan rasmi yang diumumkan itu, membatalkan Encik Widodo dan timbalannya sebagai calon, atau mengadakan pilihan raya baru. Mahkamah dijangka akan mengumumkan keputusannya selewat-lewatnya pada 28 Jun.

Agensi penyelia pilihan raya sebelum ini menegaskan bahawa tiada bukti yang dapat menunjukkan berlakunya sebarang penipuan secara sistematik. Para pengamat bebas pula berpendapat bahawa pilihan raya itu diadakan dengan cara yang adil dan telus.

Jurukacap polis negara Dedi Prasetyo berkata 32,000 pegawai polis dan askar dikerahkan ke merata Jakarta untuk menangani "sebarang gangguan yang boleh menjejas prosiding mahkamah".

Beliau menambah, para pegawai polis dilengkapi dengan belantan, gas pemedih mata dan meriam air, Mereka bagaimanapun tidak dilengkapi dengan peluru hidup.

"Kami tetap akan mengambil pendekatan lembut jika berlaku tunjuk perasaan di hadapan bangunan Mahkamah Perlembagaan," beliau memberitahu AFP.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan