Images
  • covid-19 coronavirus vaccine illustration shot
    Gambar hiasan botol dengan label vaksin virus korona COVID-19 (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Indonesia mula ujian vaksin COVID-19 dari China ke atas manusia

JAKARTA: Indonesia pada Selasa (11 Ogos) melancarkan ujian vaksin COVID-19 buatan China ke atas sekitar 1,600 sukarelawan. Ujian ke atas manusia itu dijadualkan mengambil masa enam bulan.

Vaksin yang dihasilkan oleh Sinovac Biotech itu, adalah antara beberapa calon vaksin di dunia yang memasuki tahap ujian klinikal Fasa 3, atau ujian besar-besaran ke atas manusia. Ia merupakan langkah terakhir sebelum menerima kelulusan pihak berkuasa.

Rawatan tersebut, yang dikenali sebagai CoronaVac, sudah diuji ke atas 9,000 pekerja kesihatan di Brazil, negara kedua yang paling teruk terjejas pandemik COVID-19 selepas Amerika Syarikat.

Indonesia, negara keempat paling padat penduduk di dunia, sedang bergelut untuk membendung jumlah kes COVID-19 yang meningkat, dengan lebih 127,000 jangkitan disahkan dan lebih 5,700 kematian dicatatkan.


Namun krisis kesihatan awam itu dipercayai jauh lebih besar, memandangkan kadar ujian di negara Asia Tenggara itu adalah rendah.

Gabenor wilayah Jawa Barat, adalah antara 1,620 relawan yang akan mengambil bahagian dalam ujian klinikal, yang dijangka selesai pada Februari.

Menurut pegawai Indonesia,sekiranya vaksin tersebut terbukti selamat dan berkesan, terdapat rancangan untuk menghasilkan hingga 250 juta dos untuk negara yang mempunyai 270 juta penduduk itu.

Namun butiran lanjut tentang program itu tidak diumumkan.

Pada Selasa, Presiden Indonesia Joko Widodo mengunjungi sebuah kilang di kota Bandung, yang dikendalikan oleh perusahaan farmasi milik negara Bio Farma, di mana penghasilan vaksin akan dijalankan.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa ancaman COVID-19 tidak akan berakhir sehingga semua penduduk di Indonesia diberi vaksin," kata Encik Widodo sebelum lawatan tersebut.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- AFP/TQ/tq

Top