Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia mula naikkan harga rokok lebih 30% pada 2020

Indonesia akan menaikkan harga minimum rokok sebanyak lebih 30 peratus bermula Januari tahun depan, menurut jurucakap kementerian kewangan pada Jumaat (13 Sep). Langkah itu adalah sebahagian usaha pemerintah untuk mengurangkan kadar merokok.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia mula naikkan harga rokok lebih 30% pada 2020

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 10:44PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 10:48PM

JAKARTA: Indonesia akan menaikkan harga minimum rokok sebanyak lebih 30 peratus bermula Januari tahun depan, menurut jurucakap kementerian kewangan pada Jumaat (13 Sep). Langkah itu adalah sebahagian usaha pemerintah untuk mengurangkan kadar merokok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 70 peratus orang dewasa merokok di Indonesia, salah satu kadar tertinggi di dunia. Produk tembakau membunuh 225,720 orang setiap tahun di negara itu, atau 14.7 peratus daripada semua kematian, kebanyakannya akibat penyakit kardiovaskular, menurut satu laporan WHO pada 2018.

Pemerintah Indonesia sudah menaikkan cukai ke atas produk tembakau hampir setiap tahun sejak 2014 untuk mengurangkan penggunaan, namun langkah tersebut tidak memberi kesan ketara terhadap kadar merokok.

Bermula 1 Januari tahun depan, pemerintah akan menaikkan harga minimum rokok bagi semua kategori sebanyak purata 35 peratus dan meningkatkan cukai eksais ke atas produk tembakau sebanyak 23 peratus, kata jurucakap kementerian kewangan Nufransa Wira Sakti.

Syarikat-syarikat terbesar rokok di Indonesia termasuk HM Sampoerna, Gudang Garam dan Djarum Group, syarikat yang tidak tersenarai dalam bursa saham.

Sampoerna, Gudang Garam dan Djarum tidak segera menjawab permintaan untuk memberi ulasan.

Jakarta mengekalkan kadar cukai tembakau tahun ini, setelah menaikkannya sebanyak 10 peratus hingga 11 peratus setahun sepanjang lima tahun yang lalu.

Buat masa ini, cukai rokok kretek yang popular bermula dari 370 rupiah hingga 590 rupiah bagi setiap batang rokok, manakala harga asas runcit adalah sekitar 715 rupiah (S$0.07043) hingga 1,120 rupiah (S$0.11017) sebatang rokok.

Harga rokok dengan tapisan, popular dalam kalangan belia Indonesia sebagai "rokok putih", adalah antara 355 rupiah hingga 625 rupiah sebatang, manakala harga asas runcit adalah antara 640 rupiah (S$0.06296) hingga 1,130 (S$0.11116) rupiah sebatang.

Peraturan cukai ke atas produk tembakau sering mengundang kontroversi di Indonesia, di mana syarikat-syarikat tembakau sering menyatakan penurunan jualan akan menjejas kehidupan para petani.

Indonesia menyasarkan untuk mengumpul 172 trilion rupiah (S$16.82 bilion) hasil daripada cukai tembakau pada tahun 2020, menurut saranan pemerintah bagi belanjawan negara tahun depan yang sedang menunggu kelulusan parlimen.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan