Indonesia luluskan vaksin Sinopharm bagi penggunaan kecemasan
Indonesia luluskan vaksin Sinopharm bagi penggunaan kecemasan.
JAKARTA: Vaksin COVID-19 buatan Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm) mendapat kelulusan untuk penggunaan kecemasan oleh Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia pada 30 April.
Ketua BPOM, Penny Lukito dalam satu sidang media berkata keselamatan serta keberkesanan vaksin Sinopharm itu didapati amat memberangsangkan dan ia akan digunakan dalam program vaksinasi negara.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PT. Kimia Farma Tbk, Verdi Budidarmo menjelaskan, program vaksinasi akan dilancarkan pada bulan ini.
Di bawah program itu, sektor swasta dibenarkan membeli dan menjalankan suntikan vaksin COVID-19 untuk melengkapkan program vaksinasi pemerintahnya, katanya.
PT Kimia Farma Tbk merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengedarkan vaksin itu.
Vaksin buatan Sinopharm ialah vaksin ketiga diberikan permit penggunaan kecemasan di Indonesia selain vaksin Sinovac Biotech China dan vaksin AstraZeneca Britain.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin pada Januari lalu mengumumkan pemerintah menyasarkan seramai 181 juta rakyat akan diberikan suntikan vaksin dalam tempoh 15 bulan.
Bagaimanapun, program itu agak perlahan berikutan kekurangan bekalan vaksin.
Menurut statistik pihak berkuasa, seramai 12.38 juta orang sudah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos temasuk 7.63 juta sudah menerima dua dos.
Menurut maklumat Badan Nasional Penyelamatan Bencana Indonesia pada 30 April, kes jangkitan baru dilaporkan sebanyak 5,500 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,668,368 setakat ini.
Sementara jumlah korban setakat ini seramai 45,521 orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.