Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia lapor kes COVID-19 dengan mutasi 'Eek'

Indonesia melaporkan kes pertama varian baru koronavirus yang lebih mudah berjangkit dan diketahui mengurangkan perlindungan vaksin.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia lapor kes COVID-19 dengan mutasi 'Eek'

Petugas kesihatan Indonesia menyediakan 1 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca. (Gambar: REUTERS/Nyimas Laula)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 12:36PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 12:38PM

JAKARTA: Indonesia melaporkan kes pertama varian baru koronavirus yang lebih mudah berjangkit dan diketahui mengurangkan perlindungan vaksin.

Namun pemerintah Indonesia pada Selasa (6 Apr) menyatakan vaksin-vaksin yang digunakan di negara itu dapat melawan mutasi tersebut.

Varian baru itu mengandungi mutasi E484K yang didapati dalam varian-varian yang kali pertama dikenal pasti di Afrika Selatan dan Brazil.

Ia diberi gelaran "Eek" oleh sebahagian saintis kerana keupayaannya mengelak imuniti semula jadi daripada jangkitan COVID-19 sebelumnya dan mengurangkan perlindungan yang ditawarkan vaksin-vaksin sedia ada.

Siti Nadia Tarmizi, seorang pegawai kanan kementerian kesihatan pada Selasa berkata satu-satunya kes varian baru itu sudahpun sembuh dan tidak menjangkiti orang-orang yang berhubung rapat dengannya, sambil menambah vaksin-vaksin sedia ada di Indonesia boleh menahan mutasi tersebut.

Bagaimanapun, Herawati Sudoyo, timbalan pengarah kajian asas di Institut Eijikman yang dibiayai pemerintah, yang melakukan pengkhususan dalam bidang biologi molekul perubatan dan bioteknologi, berkata keupayaan vaksin-vaksin untuk menahan mutasi itu masih belum ditentukan.

Kes pertama varian itu muncul sedang Indonesia bersiap sedia untuk berdepan isu bekalan berkurangan vaksin-vaksin COVID-19 disebabkan sekatan-sekatan ke atas eksport vaksin AstraZeneca oleh pengilang di India kerana mahu mengutamakan bekalan domestik.

Menteri kesihatan Indonesia pada Isnin (5 Apr) menyatakan hanya 20 juta daripada 30 juta dos yang ditempah bagi penghantaran Mac-April tersedia disebabkan sekatan-sekatan eksport tersebut.

Beliau menyeru agar program vaksinasi disesuaikan semula untuk mengutamakan warga tua.

Dengan sekitar 1.54 juta kes dan 41,900 kematian sejauh ini, Indonesia mempunyai jumlah kes yang paling tinggi di Asia Tenggara dan salah satu epidemik paling teruk di Asia.

Kempen vaksinasinya menyasarkan suntikan vaksin kepada 181 juta orang dan ia sangat bergantung kepada vaksin Sinovac yang dihasilkan oleh syarikat China disebabkan kelengahan penghantaran vaksin AstraZeneca.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan