Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia lapor kematian 1 lagi harimau Sumatera disyaki diracun

Dalam kurang seminggu, seekor harimau Sumatera yang diancam kepupusan, ditemui mati dalam kes kedua disyaki akibat diracun. Ini dilaporkan para pegawai pemuliharaan Indonesia pada Isnin (29 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia lapor kematian 1 lagi harimau Sumatera disyaki diracun

A conservation agency official examines a dead tiger found at a villager?s farm in Trumon, South Aceh AFP/KHAFADI SYAWALPegawai agensi pemuliharaan memeriksa seekor harimau yang ditemui mati di sebuah ladang kampung di Trumon, Aceh Barat. Gambar: KHAFADI SYAWAL/AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2020 10:07PM Dikemas Kini : 29 Jun 2020 10:08PM

BANDA ACEH: Dalam kurang seminggu, seekor harimau Sumatera yang diancam kepupusan, ditemui mati dalam kes kedua disyaki akibat diracun. Ini dilaporkan para pegawai pemuliharaan Indonesia pada Isnin (29 Jun).

Pihak berkuasa menyatakan dalam kedua-dua kes tersebut, penduduk tempatan mungkin menyasarkan harimau berkenaan kerana menyerang ternakan mereka.

Pada Isnin, agensi pemuliharaan di Aceh Selatan, pulau Sumatera menyatakan ia menemui bangkai seekor harimau betina dekat sebuah ladang.

"Tidak ada perangkap atau luka fizikal dan kami mengesyaki ia diracun," kata ketua agensi Hadi Sofyan sambil menambah bahawa bedah siasat sedang dijalankan.

Minggu lalu, bangkai seekor harimau jantan yang ditanam ditemui di taman negara Batang Gadis di Sumatera Utara. Ia juga dipercayai mati akibat diracun.

Penduduk tempatan termasuk seorang ketua kampung berkata pembunuhan itu diatur oleh penternak yang marah kerana harimau tersebut telah membunuh ternakan mereka, kata seorang jurucakap taman ketika itu.

Pada Isnin juga, seekor harimau betina dipindahkan dari sebuah ladang di Sumatera Barat.

Konflik antara manusia dengan haiwan di Indonesia sering berlaku di daerah-daerah di mana hutan hujan ditebang untuk memberi laluan kepada tanaman ladang kelapa sawit.

Dalam setahun lalu, Sumatera juga menyaksikan peningkatan dalam serangan harimau maut terhadap manusia.

Indonesia berdepan dengan masalah pemburuan haram yang menyebabkan kematian hampir semua harimau Sumatera, menurut TRAFFIC, sebuah rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar sejagat.

Harimau Sumatera dianggap haiwan yang menghadapi risiko kepupusan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam, dengan kurang dari 400 ekor dipercayai masih hidup di hutan belantara.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan