Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia kerah lebih ramai kakitangan hospital ekoran lonjakan COVID-19 di beberapa kawasan

Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan lebih ramai doktor dan jururawat ke dua kawasan di kepulauan Jawa dan Madura selepas hospital-hospital di sana hampir mencapai kapasiti penuh di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19, kata menteri kesihatan negara itu pada Isnin (7 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia kerah lebih ramai kakitangan hospital ekoran lonjakan COVID-19 di beberapa kawasan

COVID-19: Seorang pesakit terlantar di luar hospital Dr Loekmono Hadi di Kudus, Java Tengah pada 2 Jun 2021. (Gambar fail: Reuters/Yusuf Nugroho, Antara)

Diterbitkan : 07 Jun 2021 08:43PM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 08:48PM

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan lebih ramai doktor dan jururawat ke dua kawasan di kepulauan Jawa dan Madura selepas hospital-hospital di sana hampir mencapai kapasiti penuh di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19, kata menteri kesihatan negara itu pada Isnin (7 Jun).

Para pakar dan pegawai kesihatan bimbang tentang risiko lonjakan kes yang lebih luas yang didorong varian baru dan jumlah perjalanan yang tinggi pada bulan lalu apabila berjuta-juta penduduk di negara majoriti Muslim terbesar di dunia itu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut laporan media, kapasiti hospital di kabupaten Kudus di Jawa dan Bangkalan di pulau Madura yang berhampiran sudah mencecah sekurang-kurangnya 90 peratus.

"Ada wilayah atau kelompok yang menyaksikan lonjakan yang tinggi," kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin semasa satu sidang media.

Menurutnya, beberapa pesakit telah dipindahkan ke bandar-bandar lain untuk mendapatkan rawatan bersama-sama dengan kakitangan perubatan tambahan.

Media tempatan melaporkan kiri-kira 300 pekerja jagaan kesihatan di Kudus telah dijangkiti koronavirus.

Bagaimanpun para pegawai kesihatan di wilayah itu tidak dapat segera dihubungi untuk memberikan ulasan.

Sementara itu di Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat yang paling ramai penduduk, kapasiti hospital mencecah 79 peratus, kata Ahyani Raksanagara, ketua agensi kesihatan bandar itu.

Daripada 72,000 katil pengasingan di Indonesia, 31,000 sedang digunakan, meningkat daripada 22,000 pada bulan lalu, dedah Encik Budi.

"Kami di kementerian kesihatan sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan paling dahsyat di mana semua pesakit perlu dimasukkan ke hospital," kata beliau.

Bercakap di sidang media yang sama, ketua polis negara Listyo Sigit Prabowo berkata sekatan pergerakan telah diperketatkan di Kudus dan Bangkalan.

Indonesia di antara negara Asia yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 , dengan 1.86 juta kes dan lebih 51,000 kematian.

Sebanyak 6,993 jangkitan dicatakan pada Isnin (7 Jun) peningkatan harian tertinggi sejak 4 Mac.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan