Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia kata tiada keperluan uji rakyat yang dipindahkan dari Wuhan kerana mereka sihat

Seorang pegawai kanan kesihatan Indonesia mengatakan tiada keperluan untuk menjalankan ujian virus korona baru terhadap rakyatnya yang dikuarantin setelah dibawa pulang dari Wuhan memandangkan kesemua 243 orang berada dalam keadaan sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia kata tiada keperluan uji rakyat yang dipindahkan dari Wuhan kerana mereka sihat

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 Feb 2020 08:56AM Dikemas Kini : 07 Feb 2020 05:22PM

JAKARTA: Seorang pegawai kanan kesihatan Indonesia mengatakan tiada keperluan untuk menjalankan ujian virus korona baru terhadap rakyatnya yang dikuarantin setelah dibawa pulang dari Wuhan memandangkan kesemua 243 orang berada dalam keadaan sihat.

Bercakap di sidang media pada Khamis (6 Feb), Dr Windra Waworuntu, pengarah bagi penyakit berjangkit di Kementerian Kesihatan Indonesia mengatakan: "Kami tidak mengambil sampel swab kerana mereka sihat. Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) tidak menyatakan kami perlu mengambil sampel daripada setiap orang."

"Jika mereka kurang sihat, mengalami demam, batuk dan selesema, kami akan mengambil sampel swab. Tetapi jika mereka sihat, mengapa harus kami mengambil sampel swab?"

Pada Ahad, Indonesia memindahkan 238 pelajar daripada wilayah Hubei tempat virus korona baru dipercayai muncul di tengah-tengah sekatan perjalanan oleh pihak berkuasa China.

Kesemua 238 pelajar dan lima pegawai daripada kedutaan Indonesia di China yang menguruskan perjalanan pulang para pelajar itu, juga dikuarantin di sebuah pangkalan tentera di Pulau Natuna untuk dua minggu seterusnya.

KOS MERUPAKAN ISU: KEMENTERIAN KESIHATAN

Dr Waworuntu mengatakan ujian ke atas semua yang dikuarantin akan menelan kos tinggi.

Bahan kimia yang digunakan dalam analisis kimia bagi mengesan virus korona bernilai 1 bilion rupiah (S$101,700) untuk satu ujian, menurut Dr Waworuntu. Setiap orang perlu diuji sekurang-kurangnya dua kali bagi memastikan ia tepat.

"Tapi itu tidak bermakna kami tidak akan melakukannya jika kami perlu. Kami akan lakukan."

Apabila ditanya jika pendekatan sedia ada seiringan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Waworuntu mengatakan Indonesia mematuhi semua garis panduan dan saranan yang ditetapkan oleh WHO.

Menurutnya lagi, Indonesia hanya akan memperketatkan dasar-dasar sedia ada jika ia diwajibkan oleh WHO.

"Garis panduan yang ditetapkan oleh WHO sentiasa dikemas kini. Mungkin esok ia berlainan," katanya. "Tetapi menurut garis panduan yang kami terima sejauh ini, ia adalah standard."

Dr Waworuntu mengatakan para doktor sentiasa memantau kesihatan semua orang yang dikuarantin di Natuna.

Setakat ini, virus itu meragut nyawa lebih daripada 550 orang dan dijangkiti lebih 28,000 orang di seluruh dunia.

WHO mengisytiharkan virus serupa selesema itu sebagai darurat kesihatan global setelah virus itu menular ke sekurang-kurangnya 25 negara dan daerah.

Namun Indonesia, sebuah negara dengan 264 juta penduduk, kelihatan terselamat daripada penularan virus berkenaan, sedang negeri-negeri jiran seperti Singapura, Malaysia, Filipina dan Australia mempunyai kes-kes jangkitan virus korona baru yang disahkan.

Sebelum ini, Indonesia menguji 42 orang bagi virus korona baru sejak penularan itu bermula bulan lalu. Namun hasil ujian itu semua negatif.

Ada juga yang mempersoalkan jika Indonesia mempunyai peralatan betul untuk mengesan virus tersebut.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan