Images
  • sampah afp
    (Gambar: AFP/Santirta Martendano)

Indonesia hantar balik 210 tan sampah Australia

JAKARTA: Indonesia menghantar beberapa tan sampah Australia ke luar negara, menurut seorang pegawai pada Selasa (13 Ogos), sedang beberapa negara Asia Tenggara mengambil langkah untuk berhenti menjadi tempat pembuangan sampah asing.

Lapan kontena mengandungi sampah - seberat kira-kira 210 tan - meninggalkan Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia, pada Isnin menerusi kapal kargo yang menuju ke Singapura, menurut agensi kastam tempatan.

Langkah itu diambil kurang seminggu selepas Australia berjanji untuk berhenti mengeksport sisa kitar semula di tengah-tengah kebimbangan global mengenai pencemaran plastik di laut dan bantahan meningkat terhadap penerimaan sampah oleh negara-negara Asia.

Bulan lalu, Indonesia menyatakan ia akan memulangkan sampah Australia selepas pihak berkuasa menemui bahan berbahaya dan sisa sampah dari rumah, termasuk lampin pakai buang dan sisa elektronik dalam kontena yang sepatutnya hanya mengandungi sisa kertas.

"Enam kontena yang tercemar dengan sisa (berbahaya) dan dua kontena bercampur dengan sampah dari rumah" dihantar keluar dari Indonesia pada Isnin, kata Alvina Christine Zebua, jurucakap agensi kastam Jawa Timur.

Beliau tidak dapat mengesahkan bila kontena-kontena itu akan tiba di Australia.

Bulan lalu, Indonesia mengembalikan kepada Perancis dan Hong Kong tujuh kontena berisi bahan buangan yang diimport secara haram, yang disita di Pulau Batam.

Kontena-kontena tersebut sarat dengan campuran sampah, sisa plastik dan bahan berbahaya yang melanggar peraturan import.

Pihak berkuasa Batam juga sedang melakukan persiapan untuk mengembalikan 42 kontena sampah, termasuk pengiriman dari Amerika Syarikat, Australia dan Jerman.

China pernah menerima sebahagian besar sisa plastik dari seluruh dunia namun tidak lagi menerima sisa asing sejak tahun lalu dalam usaha membersihkan persekitarannya.

Jumlah sampah yang banyak kemudian dilencongkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Sekitar 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun, menurut Dana Alam Sekitar Sedunia (WWF), dengan sebahagian besarnya berakhir di tapak pelupusan atau mencemarkan laut. Ini mencetuskan satu krisis antarabangsa yang semakin membimbangkan.

Mikroplastik - kepingan-kepingan kecil sisa yang yang menyerap bahan kimia berbahaya dan terkumpul di dalam ikan, burung dan haiwan lain - adalah satu kebimbangan sekitaran utama.

- AFP/TQ/tq

Top