Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia gesa orang ramai laporkan penjawat awam yang ada kaitan dengan kandungan 'radikal'

Indonesia melancarkan satu laman web pada Selasa (12 Nov) yang akan membolehkan orang awam melaporkan kandungan ‘radikal’ yang dimuat naik oleh para penjawat awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia gesa orang ramai laporkan penjawat awam yang ada kaitan dengan kandungan 'radikal'

Jakarta. (Gambar: Romeo Gacad/AFP)

Diterbitkan : 12 Nov 2019 09:16PM Dikemas Kini : 12 Nov 2019 09:18PM

JAKARTA: Indonesia melancarkan satu laman web pada Selasa (12 Nov) yang akan membolehkan orang awam melaporkan kandungan ‘radikal’ yang dimuat naik oleh para penjawat awam.

Ini dilakukan ketika pemerintah di negara paling ramai penduduk Islam di dunia itu cuba membendung ideologi pelampau Islam daripada meresap dalam kalangan kakitangannya.

Indonesia secara rasmi adalah sebuah negara sekular, namun ia menyaksikan peningkatan sikap konservatif dengan sesetengah ahli politik menuntut peranan lebih besar bagi Islam. Malah, ada yang mahu menjadikannya negara Islam sepenuhnya.

Menteri Komunikasi Indonesia Johnny G Plate memberitahu wartawan tujuan laman web berkenaan adalah untuk mengalu-alukan orang ramai bersama-sama memperbaiki prestasi penjawat awam selain menggalakkan semangat nasionalisme lebih tinggi.

Menurut seksyen soalan selalu ditanya (FAQ), radikal merujuk kepada kandungan yang mempunyai elemen kebencian, maklumat salah, tidak toleransi atau sentimen anti-Indonesia.

Ini juga boleh termasuk penjawat awam memberikan tanda suka atau meninggalkan komen secara positif pada kandungan yang dianggap radikal di media sosial.

Kementerian Agama Indonesia juga mengumumkan rancangan untuk menggantikan 167 buku teks Islam yang dianggap mengandungi bahan radikal dan tidak bertoleransi, menjelang hujung tahun ini.

“Tujuannya supaya ajarna-ajaran agama mampu menjadikan para pelajar lebih toleran dan menghargai kaum yang berbeza dengan mereka,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Hal Ehwal Agama Kamaruddin Amin.

Indonesia turut merancang mengetatkan penapisan pegawai kanan pemerintah bagi memastikan mereka tidak mempunyai pandangan radikal, menurut satu dokumen yang disemak oleh Reuters pada Jun lalu dan seorang pegawai kanan yang terbabit dalam rencana tersebut.

Tinjauan bebas Pusat Kajian Alvara pada 2017 mendapati satu daripada lima penjawat awam serta 10 peratus pekerja syarikat pemerintah tidak bersetuju dengan ideologi negara sekular Pancasila dan sebaliknya menyokong negara Islam.

Ketua kumpulan konservatif Islam, Alumni 212, Slamet Maarif, memaklumkan bahawa pihaknya akan memantau program antiradikalisasi pemerintah.

“Jika dasar itu mencabuli nilai keadilan atau menghina majoriti Islam, kita akan menentangnya,” katanya.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan