Images
  • batam riau
    (Gambar: Reuters)

Indonesia bakal bina jambatan hubungkan Batam-Bintan mula 2020

JAKARTA: Indonesia bercadang untuk membina jambatan sepanjang tujuh kilometer yang menghubungkan dua pulau di Selat Melaka berdekatan dengan Singapura. Rancangan ini, menurut pemerintah pada Khamis (11 Jul), adalah sebahagian usaha membangunkan perusahaan dan pelancongan di kawasan tersebut.

Jambatan yang menghubung pulau Batam dan Bintan itu dianggarkan menelan belanja sekitar 4 trilion rupiah (S$386.65 juta), menurut kenyataan Setiausaha Kabinet, yang turut menyifatkan jambatan itu sebagai yang terpanjang di negara tersebut.

Jambatan itu bertujuan memanfaatkan peluasan Lapangan Terbang Changi di Singapura dengan pembangunan Terminal 5, yang akan mempunyai hubungan pengangkutan ke Bintan.

Presiden Indonesia Joko Widodo, yang menjadikan pembinaan prasarana itu sebagai tunggak utama penggal pertamanya memegang jawatan ketua negara, berikrar untuk terus mengatasi masalah ekonomi negara terbesar Asia Tenggara tersebut dalam penggal keduanya bermula Oktober ini.

Pentadbirannya juga sedang berusaha memasarkan Batam, satu-satunya zon dagangan bebas Indonesia, kepada para pelabur yang inigin memindahkan kilang dari China di tengah-tengah perang dagangan antara Beijing dengan Washington.

Pembinaan jambatan itu dijadual bermula pada 2020 dan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap, menurut pejabat itu lagi.

- Reuters/TQ/tq

Top