Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia adakan rundingan bersama WHO untuk jadi hab vaksin global

Indonesia mengadakan rundingan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta enam syarikat ubat-ubatan untuk menjadi hab global bagi pengeluaran vaksin, menurut menteri kesihatannya kepada Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia adakan rundingan bersama WHO untuk jadi hab vaksin global

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 16 Sep 2021 12:47PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 12:49PM

JAKARTA: Indonesia mengadakan rundingan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta enam syarikat ubat-ubatan untuk menjadi hab global bagi pengeluaran vaksin, menurut menteri kesihatannya kepada Reuters.

Memberi perincian tentang strategi bercita-cita tinggi itu buat kali pertama, Budi Gunadi Sadikin berkata dalam satu wawancara bahawa Indonesia akan melancarkan insiatif itu dengan mengutamakan pembelian vaksin COVID-19 daripada syarikat-syarikat yang berkongsi teknologi dan membangunkan kemudahan di Indonesia.

"Kami sedang bekerjasama dengan WHO untuk menjadi salah satu daripada hab pengeluaran global bagi mRNA," katanya, sambil menambah bahawa dia secara langsung melobi Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa lawatan ke Eropah pada awal bulan ini.

"WHO menarik perhatian kepada Afrika Selatan sebagai lokasi pertama, dan saya katakan bahawa secara logik Indonesia seharusnya menjadi lokasi kedua."

"Hab pemindahan teknologi" yang baru itu adalah sebahagian daripada strategi WHO untuk mengedarkan pengeluaran vaksin global secara meluas dan membina keupayaan di negara-negara membangun untuk menghasilkan vaksin generasi baru seperti vaksin mRNA berdasarkan asid nukleik Moderna dan Pfizer yang boleh menyesuaikan diri dengan pantas bagi menangani virus varian yang baru.

Usaha untuk membangunkan pangkalan bagi pengeluaran vaksin COVID-19 di Afrika Selatan lebih tertumpu kepada percubaan untuk meniru vaksin Moderna, namun kurang kemajuan dalam rundingan bersama syarikat Amerika bermakna projek itu akan mengambil masa, kata pegawai kanan WHO kepada Reuters.

Budi berkata Indonesia berminat untuk membina kemahiran dalam vaksin-vaksin mRNA, serta vaksin virus seperti yang dihasilkan oleh AstraZeneca.

Seorang jurucakap WHO berkata Indonesia merupakan salah satu daripada 25 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang menunjuk minat untuk menjadi sebuah hab vaksin namun ia enggan mendedahkan jika negara itu adalah calon utama.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan