Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India tolak AS$100 juta dana bantuan banjir UAE

India pada Rabu (22 Ogos) menolak tawaran kerajaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memberi AS$100 juta (S$136.6 juta) kepada satu dana khas bagi Kerala ekoran banjir yang meragut lebih 400 nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
India tolak AS$100 juta dana bantuan banjir UAE

Para sukarelawan mengira bekalan bantuan di satu pusat bantuan di Kerala (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 08:11AM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 08:14AM

THIRUVANANTHAPURAM: India pada Rabu (22 Ogos) menolak tawaran kerajaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memberi AS$100 juta (S$136.6 juta) kepada satu dana khas bagi Kerala ekoran banjir yang meragut lebih 400 nyawa.

Langkah diambil meskipun terdapat gesaan untuk menerima sumbangan negara Teluk itu oleh ketua menteri Kerala yang meminta lebih banyak bantuan daripada apa yang dijanjikan pemerintah India sejauh ini.

"Selaras dengan dasar yang sedia ada, pemerintah komited untuk memenuhi keperluan bantuan dan pemulihan melalui usaha domestik," menurut kementerian luar negara dalam satu kenyataan yang menjelaskan langkah itu.

Kementerian itu menambah bahawa dana asing hanya boleh disumbangkan melalui individu atau yayasan yang berasal dari India.

India mempunyai rekod menolak bantuan asing selepas bencana. Pada 2004 negara itu turut menolak bantuan asing selepas bencana tsunami.

Para pakar berkata pemerintah India mahu membuktikan mereka boleh mengendalikan sebarang kecemasan sendiri.

Namun keengganan itu mungkin mencetuskan kontroversi politik.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan meminta agar "rundingan peringkat tinggi" diadakan dengan pemerintah negara untuk menerima bantuan UAE.

Tawaran UAE adalah lebih daripada dana US$97 juta (S$132.5 juta) yang dijanjikan pemerintah pusat India setakat ini. Encik Vijayan meminta pakej bernilai AS$375 juta (S$512.4 juta) daripada pemerintah, sambil berkata negeri itu perlu menanggung kos kerosakan bernilai AS$3 bilion (S$4.1 bilion).

Banjir monsun meragut lebih 420 nyawa sejak Jun dan 1.34 juta orang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di kem-kem sementara merata negeri.

Ribuan tentera darat, udara dan laut dikerah ke seluruh wilayah untuk membantu mereka yang terkandas di kawasan terpencil dan berbukit.

Puluhan helikopter dan juga dron dikerah untuk menghantar makanan, ubat dan air ke kampung-kampung yang terpencil sejak beberapa hari lalu.

Pemerintah menyatakan bahawa lebih daripada 10,000 kilometer jalan raya musnah atau rosak manakala seorang penggubal undang-undang mengatakan 50,000 rumah turut musnah.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan