Images
  • india space rocket
    (Gambar: AFP)

India lancar misi pendaratan ke bulan

BENGALURU: India pada Isnin (22 Jul) melancarkan percubaan untuk menjadi salah satu kuasa angkasa lepas, apabila ia melancarkan sebuah roket yang akan meletakkan sebuah kenderaan di permukaan Bulan. Percubaan tersebut dianggap hari yang cukup "bersejarah" bagi negara itu.

Chandrayaan-2 - atau Pedati Bulan 2 - berlepas tepat pada 2.43 petang waktu tempatan dari Pusat Angkasa Satish di sebuah pulau dekat dengan wilayah Andhra Pradesh.

Tepukan gemuruh memenuhi bilik kawalan misi sedang roket itu berlepas menuju ke angkasa di atas Lautan India dan kawalan misi kemudian mengumumkan modul orbit sudah berpisah daripada roket itu tanpa sebarang masalah.

"Hari ini adalah hari bersejarah bagi angkasa lepas, sains dan teknologi di India," ketua Badan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) K Sivan berkata.

Pelancaran itu dilakukan seminggu selepas satu percubaan yang dibatalkan hanya 56 minit sebelum pelancaran yang dijadualkan, akibat kebocoran bahan pembakar.

Negara Asia Selatan itu sedang berusaha mengikuti jejak langkah Rusia, Amerika Syarikat dan China untuk mendaratkan kenderaan angkasa di permukaan Bulan. Jika berjaya, kenderaan India itu dijadual mendarat di Bulan pada awal September.

"Setiap warga India amat berbangga hari ini!" tulis Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter. Beliau berikrar akan menghantar seorang manusia ke orbit menjelang 2022.

"Ini satu detik istimewa yang akan kekal tersemat dalam sejarah gemilang kita!"

Pelancaran itu turut ditonton Presiden Ram Nath Kovind diiringi 7,000 orang kenamaan dan kanak-kanak yang mengibarkan bendera negara.

India turut mendapat kata-kata pujian dari rakan-rakan antarabangsa. Jabatan Negara Amerika Syarikat menulis di Twitter pelancaran itu "satu pencapaian menakjubkan!" manakala Agensi Angkasa Lepas Eropah turut menyampaikan ucapan tahniah.

Roket yang dilancarkan India membawa modul orbit, modul pendarat serta sebuah rover - yang hampir kesemuanya direka dan dibuat di India.

- Agensi berita/TQ/tq

Top