Images
  • kashmir
    Seorang pegawai keselamatan mengawasi jalan raya semasa tempoh perintah berkurung di Srinagar pada 11 Ogos 2019. (Gambar: Sajjad HUSSAIN/AFP)

India kenakan semula sekatan ketat ke atas masjid di seluruh Kashmir

SRINAGAR: Pihak berkuasa India mengenakan sekatan amat ketat ke atas masjid di seluruh Kashmir bagi sambutan Aidiladha kerana bimbang bantahan antipemerintah meletus ekoran pemansuhan autonomi khas wilayah tersebut yang kebanyakan penduduknya beragama Islam. Demikian menurut para penduduk.

Masjid terbesar di rantau Himalaya iaitu Masjid Jama diarahkan tutup dan para jemaah hanya dibenarkan menunaikan solat di masjid tempatan yang lebih kecil untuk mengelakkan perhimpunan orang ramai, menurut saksi.

Kashmir berada dalam sekatan keselamatan selama lapan hari sedang pemerintah nasionalis Hindu di New Delhi berusaha menghentikan bangkangan terhadap langkahnya untuk mengenakan kawalan pusat lebih ketat di rantau tersebut.

Menyusuli langkah berkenaan, perhubungan Internet dan telefon diputuskan dengan puluhan ribu anggota keselamatan negara itu membanjiri bandar utama Srinagar serta bandar dan perkampungan Lembah Kashmir yang lain.

Pihak berkuasa melonggar sekatan buat sementara waktu pada Ahad (11 Ogos) bagi membolehkan para penduduk membeli makanan dan keperluan bagi sambutan Aidiladha.

Bagaimanapun, menurut penduduk, tahap keselamatan diketatkan semula ekoran tunjuk-tunjuk perasaan kecil yang berlaku di sana sini dengan melibatkan ratusan orang pada siang hari. Van polis meronda jalan-jalan raya pada lewat Ahad untuk menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar dari rumah.

Perdana Menteri India Narendra Modi menegaskan perubahan perlembagaan ke atas Kashmir diperlukan untuk membawa keamanan dan kemakmuran kepada wilayah itu yang hancur akibat pemberontakan berabad-abad lamanya terhadap pemerintahan India, menyebabkan puluhan ribu jiwa terkorban.

Langkah beliau itu menerima sokongan meluas di India. Namun, para pemimpin tempatan Kashmir menyatakan pemansuhan autonomi khas wilayah tersebut berisiko mencetuskan pertempuran yang lebih buruk.

Ramai pemimpin politik Kashmir sudahpun ditahan dan menurut laporan media India, beberapa di antara mereka dibawa ke pusat penahanan di luar negeri.

Encik Modi menegaskan minggu lalu bahawa keputusan untuk menggugurkan status autonomi khas Kashmir adalah perlu bagi perkembangan ekonominya selain menghentikan "pengganasan".

Di bawah autonomi perlembagaan sebelum ini, penduduk Kashmir menikmati hak istimewa seperti hak tunggal untuk memiliki tanah atau mendapatkan pekerjaan di bawah pemerintah serta biasiswa universiti. 

- AFP/FZ/fz

Top