Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India harap dapat sambung semula eksport vaksin COVID-19

India mahu menyambung semula eksport vaksin koronavirus namun tidak boleh berbuat demikian sehingga keperluan dalam negerinya dipenuhi, kata ketua pasukan bertindak COVID-19 India pada Jumaat (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
India harap dapat sambung semula eksport vaksin COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 05:08PM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 05:10PM

NEW DELHI: India mahu menyambung semula eksport vaksin koronavirus namun tidak boleh berbuat demikian sehingga keperluan dalam negerinya dipenuhi, kata ketua pasukan bertindak COVID-19 India pada Jumaat (18 Jun).

India adalah pengeluar terbesar vaksin COVID-19 di dunia.
"Sebaik sahaja keperluan segera untuk memberi suntikan vaksin kepada sejumlah besar penduduk India dicapai dan bekalan vaksin diperolehi daripada pelbagai sumber, kami ingin memainkan peranan berkhidmat kepada pihak lain dan menawarkan vaksin kepada mereka," kata Dr Vinod K Paul dalam wawancara bersama The Associated Press.

Dr Paul mempertahankan keputusan pemerintah India untuk menyekat eksport vaksin pada April lalu sedang negara itu bergelut dengan lonjakan kes jangkitan dalam negeri.

Beliau menarik perhatian bahawa India sudah memberi "sejumlah besar" vaksin pada permulaan tahun ini ketika negara itu melancarkan program imunisasi dalam negeri. "Jadi tindakan itu harus dihormati dan diiktiraf kerana tidak banyak negara yang melakukan sedemikian," katanya.

Sejak Januari lalu, India mula mengeksport vaksin kepada lebih 90 negara. Namun eksport dihentikan setelah jumlah kes COVID-19 melonjak di India, menyebabkan banyak negara membangun yang tidak mempunyai bekalan vaksin mencukupi sekaligus menjejas jutaan orang.

Sedang usaha vaksinasi yang lembab di India terus dikritik, negara-negara seperti Nepal dan Bangladesh mula berpaling ke China untuk memenuhi kekurangan bekalan vaksin mereka.

Institut Serum di India, pengeluar terbesar vaksin di dunia, juga mengabaikan peranannya sebagai pembekal utama kepada COVAX, iaitu sebuah projek disokong PBB untuk membekalkan vaksin kepada negara-negara miskin. Pada bulan lalu, ia menyatakan mungkin tidak dapat menghantar vaksin sehingga hujung tahun ini, satu tamparan hebat kepada usaha global untuk memberi vaksin COVID-19 kepada penduduk seluruh dunia.

Dr Paul berkata penyambungan semula eksport "masih dipertimbangkan". Namun, apabila ditanya bila sekatan akan ditarik balik, beliau berkata, "Tidak munasabah untuk menetapkan tarikh pada waktu ini."

Kes COVID-19 di India mencecah 29 juta orang, manakala jumlah kematian melebihi 380,000. Para pakar percaya kedua-dua jumlah itu adalah jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan