Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Imran Khan puji Dr Mahathir sebagai negarawan Malaysia dan dunia Islam

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyifatkan rakan sejawatnya, Pertana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, sebagai negarawan Islam yang merubah Malaysia menjadi sebuah model teladan untuk dunia Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Imran Khan puji Dr Mahathir sebagai negarawan Malaysia dan dunia Islam

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Pakistan Imran Khan semasa mengadakan perbincangan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 11:43PM Dikemas Kini : 23 Mar 2019 12:17AM

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyifatkan rakan sejawatnya, Pertana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, sebagai negarawan Islam yang merubah Malaysia menjadi sebuah model teladan untuk dunia Islam.

Encik Khan berkata Pakistan berbangga dengan cara Malaysia membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

"Kami mengikuti rapat kerana Pakistan sentiasa memiliki hubungan baik dengan Malaysia. Kami mengagumi anda kerana itu," katanya semasa sidang media bersama Dr Mahathir selepas perbincangan dua hala delegasi Malaysia-Pakistan pada Jumaat (22 Mac).

Encik Imran berkata beliau dan Pakistan juga mengagumi Dr Mahathir kerana tegas dalam isu-isu melibatkan dunia Islam, yang mana malangnya amat sedikit pemimpin Islam bersikap seperti itu.

"Seperti memerangi keganasan, bagaimana ia telah menjejaskan dunia Islam. Bagaimana Islamofobia menular di dunia Barat. Bagaimana umat Islam dilayan disebabkan perjuangan politik yang mengelirukan dan disengajakan.

"Apa juga jenayah yang dilakukan oleh seorang penganut Islam, maka keseluruhan 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia akan dipersalahkan dengan jenayah itu.

"Ini digambarkan oleh insiden pembunuhan di Christchurch, di mana seorang pengganas menembak mati orang yang tidak bersalah, wanita dan kanak-kanak di dalam masjid, tanpa ada rasa kesal. Kami di dunia Islam telah memerhatikan anda mengambil pendirian dalam hal-hal yang melibatkan umat Islam," katanya.

Encik Imran berkata dalam dunia Islam terdapat dua pemimpin yang menonjol dalam isu-isu antarabangsa dan sudah mengubah masyarakat. Mereka ialah Dr Mahathir dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

"Kami telah melihat Malaysia melalui transformasi dan bagaimana taraf hidup dan pendapatan per kapita rakyatnya meningkat. Kini tenaga kerja warganegara Pakistan sudah mula pergi ke Malaysia... peluang-peluang pekerjaan diwujudkan agar tenaga kerja dari Pakistan akan pergi ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir dan Presiden Erdogan adalah dua contoh teladan bagaimana kenegarawanan boleh merubah negara dan rakyat.

"Semasa krisis ekonomi melanda Asia Tenggara pada 1998, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya keluar daripada krisis itu menggunakan jalan penyelesaiannya sendiri. Kami, Pakistan, kini sedang menghadapi situasi ekonomi yang sukar... dan banyak yang perlu dilakukan untuk keluar daripada kesulitan ini," tambahnya.

Sementara itu, Dr Mahathir dianugerahi  'Nishan-e-Pakistan' atau Order of Pakistan pada Jumaat (22 Mac). Anugerah awam tertinggi negara itu disampaikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alivi.

Ia diberikan atas sumbangan Dr Mahathir kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan