Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Imigresen Johor: Kuota RGL, PCA rentas sempadan M'sia-S'pura penuh bagi 17-19 Ogos

Kuota permohonan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos ini didapati sudah penuh untuk tempoh tiga hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Imigresen Johor: Kuota RGL, PCA rentas sempadan M'sia-S'pura penuh bagi 17-19 Ogos

Pemandangan Koswe dari Johor Bahru (Gambar fail: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 12:06AM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 12:07AM

JOHOR BAHRU: Kuota permohonan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos ini didapati sudah penuh untuk tempoh tiga hari.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menerima 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan bagi PCA, bagi keseluruhan tiga hari berkenaan, mulai Isnin lalu (10 Ogos).

“Sehingga petang ini, saya melihat kuota pada tarikh 17, 18 dan 19 hari bulan ini telah penuh. Untuk RGL adalah 400 orang bagi tempoh seminggu, iaitu maknanya sehari antara 50 hingga 60 orang manakala PCA pula adalah 2,000 orang sehari.

“Keputusan permohonan merentas sempadan hanya diketahui sehari sebelum mereka memulakan perjalanan yang akan dimaklumkan menerusi e-mel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar hari ini (13 Ogos).

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran, jabatan terbabit bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengerahkan para pegawai di laluan bas, pejalan kaki, kereta serta motosikal.

Sementara itu, Dr Aman berkata pihaknya turut bersedia dengan pembukaan sempadan termasuk melakukan saringan dan ujian COVID-19.

Pada 26 Julai lalu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan bertemu di atas Tambak Johor.

Ia sebagai simbolik menandakan persetujuan pembukaan sempadan kedua-dua negara yang dijangka bermula seawal 17 Ogos, selepas kedua-dua negara menutup sempadan masing-masing bagi mengekang penularan COVID-19, bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia pada 18 Mac lalu.

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan